|VIDEO| Melaka Lawan Portugis Guna Senjata Api - Infiniti

|VIDEO| Melaka Lawan Portugis Guna Senjata Api

Ia merupakan senjata api tangan paling awal yang digunakan di Alam Melayu selain, meriam atau lela yang telah awal diperkenalkan oleh pedagang-pedagang dari Timur Tengah mahupun China.

Senjata ini kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikisahkan bahawa pahlawan ini telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban.

Beliau dikisahkan sebagai seorang yang tidak lut segala jenis senjata kecuali peluru khas yang ditembak dari senapang Melayu. Menurut kisahnya, peluru yang digunakan itu adalah hadiah ulama dari Hadra-maut kepada raja Pagar Ruyung.

Berdasarkan fakta sejarah, penemuan pertama kali senjata ini direkodkan adalah pada tahun 1516 iaitu lima tahun selepas Melaka ditakluki Portugis. Di dalam rekod itu, dinyatakan bahawa terlalu banyak senapang Melayu yang dikumpulkan oleh tentera portugis sewaktu menakluki kota berkenaan.

Orang yang bertanggungjawab mendokumentasikan bukti ini seorang pegawai berbangsa Portugis, Duarte Barbosa.

Dokumentasi ini termuat dalam Book of Duarte Barbosa. Ia dijadikan sumber rujukan utama tentang peristiwa penaklukan Melaka.

Dalam catatan tersebut, Barbosa menyebut penemuan sejenis senapang panjang yang digelarnya sebagai ‘espingardoes’ bersama 3,000 laras meriam milik kerajaan Melaka. Selain itu, dia turut menyentuh tentang bentuk fizikal senjata itu yang dianggap berkualiti tinggi jika dibandingkan senjata sama yang digunakan tentera mereka.