Ubun-ubun yang menipu

Pada zaman tamadun China purba, seorang suspek yang disabitkan sesuatu tuduhan perlu melalui ujian dengan menggunakan sekepal nasi yang disumbat ke dalam mulutnya. Kemudian, suspek itu akan diasak dengan pelbagai soalan sekitar tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Selepas semua soalan diajukan, suspek itu diminta mengeluarkan semula kepalan nasi tadi. Seandainya nasi yang dikeluarkan dari mulutnya itu kering, dia akan didapati bersalah. Sebaliknya jika nasi tersebut masih kekal basah, suspek tersebut dianggap tidak bersalah dan seterusnya dibebaskan.

Masyarakat China pada zaman tersebut percaya, jika seseorang itu melalui ujian berkenaan dan diasak dengan unsur-unsur provokasi, tubuh mereka akan memberikan dua respons yang berbeza, iaitu normal dan tidak normal.

Dalam konteks ujian tadi, nasi dipercayai menjadi kering akibat bertindak balas dengan emosi tidak normal suspek yang diburu oleh perasaan takut, gementar, terkejut, malu dan sebagainya. Perubahan atau tindak balas tidak normal inilah yang dipercayai menyebabkan tubuh suspek menjadi panas hingga mengakibatkan kepalan nasi yang dimasukkan ke dalam mulutnya menjadi kering.

Ini menunjukkan sejak zaman dahulu lagi manusia percaya bahawa pembohongan akan membuatkan tubuh seseorang mengalami perubahan serta kekacauan emosi. Emosi ini boleh berupa rasa khuatir, malu, ghairah atau emosi lain bergantung pada pembohongan yang dilakukan.

Konsep ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam bentuk teknologi seawal tahun 1885 lagi oleh Cesare Lambroso. Ketika itu, beliau mencipta sejenis alat yang mampu mengukur perubahan kadar tekanan darah. Alat tersebut kemudiannya dimajukan oleh Vittoro Benussi 20 tahun selepas itu dengan mengukur kadar pernafasan.

Sehinggalah pada tahun 1935, seorang saintis Amerika Syarikat, Loenarde Keeler menjadi orang pertama yang menguji mesin poligraf ke atas seseorang suspek yang dituduh melakukan jenayah.

Penggunaan mesin itu pertama kali dilakukan di Portage, Wisconsin, AS. Melalui bantuan mesin poligraf tersebut yang digunakan di mahkamah, suspek berkenaan akhirnya didapati bersalah atas tuduhan jenayah yang dikenakan ke atasnya.

Selepas itu, penggunaan mesin poligraf dari sudut perundangan terus berkembang dan digunakan di kebanyakan negara di seluruh dunia. Bagaimanapun, pada awal 1990-an, satu lagi kaedah baru untuk mengesan pembohongan telah ditemui oleh seorang saintis Jepun bernama Seiji Ogawa. Kaedah tersebut menggunakan pengimejan ke atas otak melalui getaran magnetik atau lebih dikenali sebagai Functional Magnetic Resonance Imaging (fMRI).
Terdapat banyak kawasan unik dalam otak yang terlibat dalam penipuan dan percakapan benar boleh dikesan menggunakan kaedah fMRI ini.

Melaluinya, gerak balas ketika otak sedang melakukan penipuan dapat dikesan dengan lebih berkesan.
Penggunaan mesin fMRI ini kemudiannya digunakan oleh pihak-pihak berkuasa dalam bidang undang-undang dan jenayah di pelbagai negara bagi tujuan mengesan pembohongan yang dilakukan oleh seseorang suspek. Fungsinya adalah sama seperti mesin poligraf. Terbaru, mahkamah-mahkamah di AS juga sedang menimbangkan dengan serius untuk menggunakan bukti yang dihasilkan oleh mesin fMRI selepas melihat keberkesanan serta ketepatannya dalam membantu menyelesaikan banyak kes di seluruh dunia.

Penciptaan mesin poligraf dan fMRI ini memang menakjubkan. Namun tahukah anda, sebelum semua teknologi ini dicipta oleh manusia untuk mengesan pembohongan, Allah terlebih dahulu telah menyatakannya di dalam Al-Quran. Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya. Dr. Arip Kasmo, kitab suci agama Islam yang diwahyukan pada abad ke-7 ini telah menyatakan dengan jelas mengenai pembohongan yang dilakukan oleh otak manusia.

Prof. Madya. Dr. Arip Kasmo

Perkara ini, jelas Dr. Arip, dapat dilihat dengan jelas dalam surah Al-Alaq melalui firman Allah yang bermaksud, “Jangan sekali-kali berlaku derhaka. Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti dari perbuatannya yang buruk itu, nescaya kami akan menyentap ubun-ubunnya, yakni ubun -ubun orang yang mendustakan lagi derhaka,”. (SurahAl-Alaq:15-16).

Dr. Arip memberitahu, di dalam otak kita terdapat satu bahagian yang berfungsi untuk mengawal diri, membentuk tingkah laku dan peribadi seseorang. Pusat kawalan itu adalah ubun-ubun yang terletak di belakang dahi atau dipanggil frontal lobe.
Di bahagian itulah segala arahan dikeluarkan sama ada mengawal tingkah laku, berbohong, berbuat salah, menyatakan sesuatu yang jujur ataupun membuat keputusan.

Anggota badan hanya menjadi subjek yang menjalankan sesuatu perkara sahaja selepas arahan diterima daripada otak.

Tambah Dr. Arip lagi, ketika melakukan pembohongan, ubun-ubun menghasilkan tenaga kerja yang banyak. Ubun-ubun yang berbohong akan menyebabkan 14 kawasan otak menjadi aktif berbanding hanya tujuh kawasan sahaja jika seseorang bercakap benar.

Dalam kajian yang dijalankan oleh pakar psikiatri dan saintis neuro dari University of Pennsylvania, Dr. Daniel Langleben, ada tiga bahagian otak yang bergerak lebih aktif semasa berbohong iaitu anterior cingulate cortex, dorsal lateral prefrontal cortex dan parietal cortex. Daripada pemerhatiannya, semasa seseorang sedang menipu, aliran darah ke bahagian tersebut akan bertambah. Ini bermakna, otak sedang bekerja keras untuk melakukan penipuan.

Perkara ini berlaku disebabkan otak cuba untuk mencari alasan yang sesuai untuk diberikan ketika berdusta. Dengan kata lain, menipu bukanlah suatu perkara yang datang secara tiba-tiba, tetapi otak perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Bagaimanapun, ketika seseorang bercakap benar, perkara sebaliknya pula yang terjadi dan tidak ada sebarang tenaga yang dapat dikesan pada ubun-ubun.

Begitulah unik dan ajaibnya Al-Quran. Siapa sangka, pada waktu 1400 tahun lalu di kala manusia tidak mempunyai sebarang teknologi canggih, Al-Quran telah membongkar cara bagaimana mengesan pembohongan melalui sepotong ayat yang ringkas dan jelas. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah kalam Allah dan ia diturunkan sebagai panduan kepada seluruh umat manusia.