Tukang rasa makanan

TERDAPAT banyak jenis pekerjaan yang mengerikan dan paling berbahaya sepanjang sejarah dunia. Salah satunya ialah pengecap makanan atau tukang rasa makanan golongan pemerintah, pemimpin kerajaan dan ahli-ahli politik.

Pada zaman pemerintahan Rom kuno, tugas merasa makanan ini sering diberikan kepada seorang kanak-kanak yang dipanggil sebagai praegustator. Kerjaya ini bagaimanapun mungkin dianggap sebagai anakronisme atau sesuatu yang ketinggalan zaman, lebih-lebih lagi pada abad ke-21 ini.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa pekerjaan ini masih diperlukan sampai ke hari ini. Umpamanya, pada bulan Jun 2009, tindakan Presiden Obama menggunakan khidmat pengecap makanan untuk menguji makanan yang dihidangkan untuknya sewaktu di Perancis menjadi tajuk utama berita seluruh dunia.

Para pegawai Olimpik juga pernah melakukan hal yang sama ketika Sukan Olimpik Beijing 2008 lalu. Mereka telah menguji makanan dengan memberi susu, salad dan beras kepada tikus putih sebelum makanan tersebut dihidangkan kepada atlet. Tindakan ini bertujuan untuk mengelakkan keracunan makanan dan menjaga keselamatan atlet.

Itulah tugas tukang rasa makanan. Mereka bertanggungjawab menguji makanan atau minuman yang disajikan, terutama kepada orang-orang kenamaan. Walaupun bunyinya seperti hebat namun sebetulnya kerjaya ini penuh dengan risiko. Ibaratnya, nyawa setiap pengecap makanan berada di hujung tanduk.

Mana tidaknya, tugas penting mereka bukan hanya sekadar merasa makanan sebelum raja duduk di meja makan, tapi paling utama adalah untuk memastikan semua hidangan itu selamat untuk dimakan dan tidak mengandungi sebarang toksin atau racun. Jika ada reaksi negatif, raja hanya menyisihkan makanan dan minuman yang dihidangkan ke tepi, tanpa menyentuhnya langsung tapi pengecap makanan yang menanggung akibatnya.

Seawal tahun 331 Sebelum Masihi (SM) lagi, keracunan di meja makan atau minuman telah dilaporkan  berlaku dan amalan ini sudah menjadi satu perkara biasa di dunia. Selama pemerintahan Ratu Elizabeth I misalnya, pihak istana cukup berhati-hati tentang soal jamuan makanan diraja kerana bimbang ada pihak atau musuh yang mahu meracuni ratu.

Sebab itulah, tukang rasa makanan ini sangat-sangat diperlukan. Tidak hanya untuk golongan raja, tetapi oleh tokoh-tokoh kerajaan dan individu berkepentingan yang mungkin di bawah ancaman bunuh atau dalam keadaan berbahaya.

Racun merupakan senjata yang selalu digunakan oleh pengecut untuk menghapuskan orang mereka tidak sukai. Cara ini adalah mudah tanpa perlu berhempas pulas menghunus senjata atau mengupah pembunuh upahan. Terdapat banyak jenis racun yang digunakan dalam misi pembunuhan ini.

Menurut ahli kimia dari Universiti Cambridge, Profesor John Emsley, bahan kimia seperti arsenik dan nikotin, merupakan bahan beracun yang mudah sebati dalam makanan. Ia boleh didapati dalam bentuk serbuk. Kehadirannya membuatkan makanan berubah tekstur menjadi kasar. Seseorang pengecap makanan yang berpengalaman mampu mengesan dengan cepat muslihat ini.

Selain itu, racun nabati juga antara bahan berbisa yang kerap menjadi pilihan kerana ia mudah tersembunyi terutama dalam sayuran. Selain dicampurkan dalam hidangan, ia turut dijadikan sebagai bahan penyegar bilik dan pewangi pakaian. Di samping itu, tanaman atau herba seperti Hemlock, Larkspur dan Meadow Saffron adalah racun yang amat disukai oleh pembunuh kerana jenis ini dianggap paling bahaya.

Bagaimanapun, banyak racun yang digunakan dalam usaha membunuh ini mengambil masa beberapa jam untuk bekerja. Cuma ada satu bahan kimia yang boleh membunuh dalam beberapa minit, iaitu sianida. Manakala, racun alkaloid seperti strychine dan atropin boleh membunuh dalam masa 24 jam. Sementara itu, arsenik akan membuatkan mangsa muntah dalam beberapa jam dan mungkin mati sehari kemudian. Ini kerana ada kalanya racun menunjukkan reaksi yang agak lama.

Sejarah telah banyak menyaksikan korban pembunuhan menggunakan racun dalam makanan terutama ketika pergolakan politik. Sebagai contoh, Halotus adalah seorang pengecap makanan rasmi bagi pihak Maharaja Rom Claudius.

Satu hari, Halotus menjadi terkenal tapi bukan kerana kejayaannya  menyelamatkan nyawa maharaja. Dia popular disebabkan beliau gagal dalam pekerjaannya. Claudius telah mati pada tahun 54 Masihi kerana termakan racun. Dalam kes ini, Halotus menjadi sasaran dan dilabel sebagai suspek utama dalam pembunuhan tersebut. Selain kes ini, isteri Carlos II dari Sepanyol, Marie Louise turut mati secara tiba-tiba pada bulan September 1689 disebabkan keracunan.

Mengikut buku Neopoliani Magioe Naturalis yang diterbitkan sebelum tahun 1590, menceritakan secara terperinci tentang seni keracunan dan kaedah berkesan menggunakan racun untuk melakukan pembunuhan. Ternyata, cara paling popular dan berkesan membunuh seseorang dengan racun pada masa itu adalah dengan memasukkan dadah ke dalam minuman arak seseorang.

Oleh kerana racun dianggap begitu bahaya, Mithridates VI, Raja Pontus dari sebuah negara Yunani kuno di Anatolia utara atau kini dikenali sebagai Turki, hidup dalam ketakutan sepanjang usianya. Dia terlalu bimbang kalau-kalau racun menjadi pembunuhnya. Justeru, dia bekerja keras dan berusaha mencari penawar bagi membolehkan dirinya kebal dari terkena bahan berbahaya itu. Dia akhirnya berjaya mendapatkan kekebalan itu, tetapi tetap juga mati dibunuh pihak musuh pada 63 SM.