Tradisi menyumbat lubang hidung - Infiniti

Tradisi menyumbat lubang hidung

SETELAH sekian lama tersembunyi daripada pengetahuan dunia, baru kebelakangan ini diketahui, bahawa wujud satu lagi amalan mengerikan yang terhasil daripada ketentuan tradisi lama iaitu menutup lubang hidung dengan alat penyumbat khas dan kekal begitu sepanjang hidup.

Percaya atau tidak, inilah yang benar-benar terjadi kepada suku Apatani di India. Hinggakan perbuatan mereka menjadikan suku yang jumlah penduduknya sekitar 26,000 orang ini begitu popular di kalangan pengunjung luar, berbanding suku-suku lain yang menetap di kawasan sama.

Sungguhpun begitu, di sebalik populariti itu pasti siapa saja yang melihat fizikal suku ini akan bertanya, kenapa suku Apatani berbeza daripada 26 suku lain yang kebanyakannya tidak menyumbat lubang hidung?

Kemusykilan ini timbul kerana umum mengetahui, hidung adalah salah satu organ penting manusia yang berfungsi sebagai alat pernafasan dan deria mencium bau. Lalu, bagaimana manusia hendak bernafas dan menghidu bau-bauan di sekeliling jika hidung tertutup? Ya mungkin selain hidung, manusia juga boleh bernyawa menerusi mulut.

Tapi apakah tindakan aneh itu suatu yang hebat, apatah lagi pemakaian sumbat hidung tersebut kekal sepanjang hayat mereka. Tentu saja ia agak perit dan menyeksa tubuh. Lebih-lebih lagi, bila terkena selesema. Bayangkan, jika organ utama pernafasan itu tertutup sepanjang hayat mereka. Tentu saja mereka bakal hilang nikmat bau yang enak.

Walaupun sukar untuk dipercayai, namun itulah perkara yang dilakukan oleh suku yang memiliki bahasa pertuturan keluarga, Sino-Tibet ini. Keunikan hidung mereka membuatkan mereka tampil berbeza dan begitu menonjol berbanding suku-suku lain. Soalnya, bagaimana mereka melakukannya?

Penyumbat berwarna hitam yang diperbuat daripada buluh lazimnya akan dipotong mengikut ukuran lubang hidung. Kemudian, penyumbat tadi disumbat ke dalam rongga hidung sehingga tertutup kemas. Penyumbat hidung ini biasanya akan diganti setahun sekali sehinggalah saiz lubang hidung membesar dan berukuran diameter lima sentimeter atau bersamaan panjang ibu jari.

Selain mengubah suai bentuk hidung, kaum wanita akan mengukir dua set tatu pada wajah mereka atau dalam bahasa tempatan disebut yaping hurlo. Satu garisan selari dari dahi ke hujung hidung dan satu lagi pada bahagian dagu. Manakala tatu yang dipakai oleh kaum lelaki pula tidak serumit mana kerana mereka hanya mengukir bentuk ‘T’ pada dagu.

Kaum lelaki juga terlepas daripada melakukan amalan menutup atau menyumbat lubang hidung kerana perbuatan ini cuma direalisasikan di kalangan kaum wanita saja. Soalnya mengapa amalan ini terikat pada gender wanita saja dan pada masa yang sama tergamak pula merosakkan keaslian saiz lubang hidung mereka yang sedia ada?

Isu ini mungkin terlalu sensitif, justeru tiada siapa yang dapat menjelaskan perkara ini secara sahih. Satu sebab kesulitan ini terjadi kerana tiada satu pun catatan bertulis menerangkan tentang sejarah kehidupan mereka. Adapun yang kekal sampai ke hari ini hanyalah cerita-cerita lisan yang diperturunkan daripada generasi terdahulu kepada generasi sekarang.

Menurut cerita penduduk asal Apatani, amalan pelik ini lahir apabila tercetusnya peperangan antara suku Apatani dan suku Nishi. Suku Nishi dikatakan sering menculik gadis suku Apatani kerana dianggap antara yang tercantik berbanding wanita daripada suku-suku lain. Justeru bagi mengelak diculik, kaum wanita Apatani mula menyumbat hidung dan mengukir tatu pada wajah untuk kelihatan jelik serta tidak menarik.

Kerana keanehan rupa paras mereka, suku lain akhirnya tidak berani lagi mengusik, apatah lagi menculik wanita Apatani. Keberkesanan menerusi kaedah ini menyebabkan ia menjadi amalan dan diteruskan selama bertahun-tahun lamanya.

Namun, selepas gencatan senjata ditandatangani antara suku Apatani dan suku Nishi pada tahun 1960an, amalan pelik ini kemudian dihentikan. Arus kemodenan membuatkan para wanita Apatani yang lahir pada tahun 1970, kebanyakannya sudah tidak ingin lagi untuk meneruskan tradisi mengerikan seperti ini.

Yang terlihat memakai penyumbat hidung dan tatu di wajah pada hari ini hanyalah di kalangan warga tua dari sisa-sisa peninggalan tradisi lama.