Sindrom muka ketat - Infiniti

Sindrom muka ketat

KECANTIKAN wajah memang anugerah Tuhan. Pada zaman moden ini, ramai orang sanggup berhabis wang demi untuk memastikan mereka kelihatan cantik. Namun yang cantik sebenarnya tidak memberi apa-apa makna dalam kehidupan kita sekiranya wajah yang dimiliki tidak mampu memberikan senyuman, gelak tawa mahupun tangisan untuk dikongsi dengan orang lain.

Sebab itulah, ramai yang berpendapat, untuk menjaga awet muda, seseorang itu perlulah memulakan harinya dengan senyuman. Perkara ini banyak dipersetujui saintis termasuklah pengamal perubatan. Mereka percaya, memulakan hari dengan senyuman bukan saja boleh menceriakan hidup tetapi membawa manfaat berguna kepada kesihatan.

Hayley tidak boleh senyum seperti orang lain.

Bagaimanapun, bukan semua orang mampu berbuat begitu. Hayley Harbottle misalnya, tidak mampu memberikan senyuman manisnya. Gadis berusia 14 tahun ini disahkan mengidap sejenis penyakit ganjil yang menyebabkan wajahnya lumpuh. Akibatnya, Hayley dikatakan tidak boleh tersenyum. Gadis ini juga tidak dapat ketawa, menangis ataupun berkerut dahi.

Anak gadis kepada pasangan Jane dan Barry yang tinggal di Camlington, Northumberland ini disahkan menghidapi sejenis penyakit genetik ganjil yang disebut sindrom moebius. Hayley disahkan menghidap sindrom moebius selepas sembilan bulan dilahirkan dan kini menjadi salah seorang daripada ratusan pesakit yang menghidap sindrom itu di Britain.

Berdasarkan laporan doktor yang merawatnya, Hayley dilahirkan tanpa saraf kranium. Saraf ini yang mengawal ekspresi muka, membenarkan seseorang mengerdip dan menggerakkan mata dan juga melemparkan senyuman. Sindrom itu juga membawa kepada masalah untuk mengunyah dan kesukaran mendengar.

Lebih malang lagi, Hayley yang belajar di sekolah khas berhampiran rumahnya kini berhadapan dengan penyakit sampingan lain iaitu tidak boleh mendengar dan penyakit usus. Bagaimanapun kekurangan itu tidak menghalang gadis ini untuk belajar berenang dan menghabiskan waktunya dengan berkomunikasi melalui komputer.

Beberapa pakar bedah di Britain berharap, mereka dapat melakukan pembedahan plastik ke atas Hayley bagi membolehkan gadis ini dapat melakukan sedikit pergerakan di mukanya. Namun, perkara itu tidak memberikan jaminan bahawa gadis ini mampu pulih. Ini kerana pembedahan tersebut membabitkan rahang, pemindahan dari tubuh ke muka dan semua itu agak sukar untuk memastikan ia berjaya.

Bagaimanapun kedua ibu dan bapa Hayley tetap menaruh harapan yang tinggi bagi melihat anak gadisnya itu tersenyum seperti kebanyakan remaja lain.

Seorang pakar kesihatan dari Jabatan Patologi dan Neurologi di Pusat Perubatan Birmingham Universiti Alabama, Prof. Cheryl Ann Palmer menyatakan dalam laporan kajiannya bahawa pesakit sindrom moebius telah kehilangan sebahagian fungsi saraf-saraf kranium yang mengakibatkan pesakit menghadapi masalah untuk menggerakkan otot wajah dan mata selain perlu tidur dalam keadaan mata yang terbuka.

Kebanyakan pesakit sindrom moebius dilahirkan dengan dagu yang kecil (micrognathia), mulut yang kecil (microstomia) serta lidah yang pendek atau berbentuk luar biasa. Lelangit pada mulut pesakit juga mengalami kecacatan seperti melengkung dengan tinggi, tidak seperti manusia normal. Perkara ini yang menyebabkan pesakit mempunyai masalah untuk bertutur.

Sindrom ini juga mempengaruhi otot-otot yang mengawal pergerakan mata seseorang. Disebabkan itu, pesakit perlu menggerakkan kepala dari sisi ke sisi untuk membaca atau mengikuti sebarang objek bergerak. Selain itu, individu yang mengalami sindrom ini mempunyai masalah untuk melakukan perhubungan mata kerana mata mereka tidak berada pada kedudukan yang sama (strabismus).

Tambahan pula, kelopak mata pesakit tidak boleh ditutup sepenuhnya ketika berkedip dan juga ketika pesakit sedang tidur. Berdasarkan laporan kajian itu juga, pesakit sindrom moebius turut mengalami gangguan pada bahagian tulang tangan dan kaki selain mempunyai otot yang lemah (hypotonia).

Hayley ketika kecil.

Kanak-kanak yang mengalami sindrom ini juga sering mengalami masalah perkembangan kemahiran motor saraf seperti lambat dalam melakukan pergerakan (merangkak dan berjalan) biarpun akhirnya pesakit berjaya memperoleh kemahiran tersebut.

Meskipun begitu, penyakit ini dikatakan mungkin terhasil daripada kombinasi faktor persekitaran dan juga genetik, namun sehingga kini punca sindrom moebius masih tidak dapat dikenal pasti. Bagaimanapun terdapat beberapa penyelidik kesihatan menyatakan ubat-ubat yang diambil semasa kehamilan dan penyalahgunaan ubatan seperti kokain juga mungkin antara faktor penyebab sindrom moebius.

Malah berdasarkan laporan yang disediakan oleh Children’s Craniofacial Association, terapi bagi membantu fizikal dan cara bercakap boleh dilaksanakan ke atas pesakit sindrom moebius bagi meningkatkan kemahiran koordinasi mereka, selain membantu mendapatkan kawalan yang baik ketika bertutur dan makan.

Justeru, bersyukurlah kita masih mampu tersenyum ketika ini. Jangan kedekut dengan senyuman walaupun pada orang yang tidak dikenali. Jika tidak dapat menggembirakan orang lain, sekurang-kurangnya senyuman dapat menceriakan hati sendiri.