Misteri sumpahan superman - Infiniti

Misteri sumpahan superman

Percaya atau tidak, beberapa filem Hollywood yang dihasilkan turut membawa cerita yang tidak enak didengar di belakang tabir pembikinannya. Bukan skandal atau kontroversi, tetapi suatu sumpahan sehingga menyebabkan kematian.

Mungkin suatu kebetulan, filem Superman dikatakan mempunyai satu sumpahan sehingga menyebabkan kecelakaan kepada krew dan pelakonnya. Malah, sumpahan tersebut dianggap sebagai satu urband legend dan memakan masa selama berpuluh-puluh tahun.

Kononnya, sumpahan itu dimulakan oleh pencipta karakter Superman sendiri iaitu Jerry Siegel dan Joe Shuster. Kedua-duanya mencipta tokoh super hero dunia itu pada tahun 1938. Namun, pertelagahan timbul apabila pemegang hak cipta ke atas karakter itu menjadi milik perusahaan tempat mereka bernaung iaitu DC Comics.

Pada tahun 1946, Siegel dan Shuster telah menuntut royalti daripada majikan mereka kerana merasakan gaji yang diterima tidak setimpal dengan keuntungan yang dicatatkan oleh DC Comics. Perkara itu kemudian dirujuk ke mahkamah New York dan mahkamah telah memerintahkan DC Comics membayar $60,000 setiap seorang. Jumlah ini tentunya sangat kecil jika dibandingkan dengan jutaan dolar yang diperoleh daripada watak Superman.

Usaha Siegel dan Shuster berlanjutan hingga tahun 1975 apabila kedua-duanya telah mengepalai tunjuk perasaan yang turut diikuti oleh pelukis komik lain. Dengan desakan yang berterusan itu, DC Comics akhirnya bersetuju untuk membayar $35,000 setahun kepada Siegel dan Shuster seumur hidup mereka. Bukan itu sahaja, malah nama kedua-duanya juga akan disebut setiap kali karakter Superman digunakan.

Selain Superman, Siegel dan Shuster tidak pernah lagi mencipta tokoh super hero yang bertaraf dunia. Dikatakan, di sinilah bermulanya sumpahan tersebut apabila kedua-dua mereka menyumpah watak Superman kerana ketidakadilan yang mereka alami.

Individu pertama yang dipercayai terkena sumpahan tersebut ialah dua orang adik-beradik, Max dan David Fleischer. Max dan David adalah pengusaha studio yang bertanggungjawab mengetengahkan animasi Superman ke layar perak.

Selepas setahun filem tersebut ditayangkan serta mengaut keuntungan berjuta dolar, Flescher bersaudara mula bertelagah. Pertelagahan tersebut menyebabkan studio The Flescher Brothers terpaksa dijual kepada Paramount Studio. Semenjak itu, David hanya bekerja sebagai orang bawahan di Universal Studio, manakala Max pula meninggal dunia dalam keadaan yang melarat.

Sumpahan itu seterusnya ‘berjangkit’ kepada Kirk Alyn, iaitu orang yang berperanan memegang watak Superman dalam dua filem tersebut pada tahun 1940-an. Setelah dua kali memegang peranan dalam filem itu, karier lakonannya terpaksa ditamatkan kerana dianggap tidak sesuai dengan watak Superman. Pada tahun 1978, beliau tampil semula memegang watak sebagai ayah kepada Lois Lane. Namun, Alyn meninggal dunia selepas itu kerana penyakit Alzhiemer.

Selepas itu, nasib malang tersebut terus menerus diwarisi oleh setiap individu yang memegang watak Superman. Pada 16 Jun 1959, George Reeves yang melakonkan watak Superman dalam siri The Adventures of Superman pada tahun 1950-an ditemui mati beberapa hari sebelum hari perkahwinannya. Goerge mati dengan menembak kepalanya sendiri.

Pelakon Christopher Reeves pula bukan sekadar berkongsi nama keluarga yang sama tetapi turut mewarisi nasib malang Goerge. Selepas kejayaan empat filem Superman, dia terjatuh daripada kuda pada 1995 sehingga menyebabkan beliau lumpuh separuh badan. Pada 10 Oktober 2004, Reeves meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada usianya 45 tahun.

Sementara itu, pelakon Margot Kidder yang memegang watak Lois Lane juga dikatakan terkena sumpahan itu. Selepas melakonkan watak Lois Lane bersama heronya Christopher Reeves, Kidder telah disahkan menghidap masalah mental. Pada bulan April 1996, beliau telah menghilangkan diri selama beberapa hari sebelum ditemui dalam keadaan yang tidak tentu arah.

Lee Quigley pula yang berlakon sebagai bayi Kal-El dalam filem Superman pada tahun 1978 turut mengalami nasib yang malang. Pada bulan Mac 1991, beliau ditemui mati kerana menghirup gas aerosol yang berbahaya. Usianya pada ketika itu baru 14 tahun.

Bagaimanapun, sumpahan itu dikatakan telah berakhir selepas filem Superman 1978. Ini kerana, tiada seorang pun daripada pelakon-pelakon yang membintangi filem Superman selepas itu mempunyai nasib malang seperti sebelumnya.

Antaranya ialah Gene Hackman, Terence Stamp, Dean Cain dan Teri Hatcher. Bahkan, untuk filem Superman yang terbaru sekalipun, tiada sebarang bencana yang menimpa Brandon Routh, Kate Bosworth dan Kevin Spacey. Begitu juga dengan drama bersiri Smallville, pelakon-pelakon seperti Tom Welling dan Kristin Kreuk tidak berhadapan sebarang masalah sepanjang penggambaran ataupun selepas itu.

 

Sama ada semua ini benar atau tidak, sukar untuk dijelaskan. Namun, inilah yang berlaku kepada pelakon-pelakon filem Superman dari tahun 1940-an hingga tahun 1978. Sumpahan ini menjadi satu urband legend di Hollywood, sehinggakan ada di antara pelakon yang menolak tawaran berlakon dalam filem tersebut kerana bimbang ditimpa nasib yang malang.

Nota:

Harus diingat, cerita ini disajikan bukan sebagai sebuah kebenaran yang harus dipercayai bulat-bulat, melainkan ia sekadar suatu informasi yang berlaku secara kebetulan saja.