Misteri Angka 26 - Infiniti

Misteri Angka 26

JIKA diimbas kembali peristiwa bencana alam yang berlaku beberapa tahun lalu, angka 26 kerap menjadi tarikh terjadinya malapetaka yang paling dahsyat dalam sejarah. Tidak percaya? Sebagai bukti, berikut adalah data bencana dari tahun 1500 hingga 2000 yang pernah menghancurkan sebahagian planet ini, sekali gus meragut banyak nyawa.

  • 26 Januari 1531 – gempa bumi di Lisbon, Portugal.
  • 26 Januari 1700 – gempa di Laut Pasifik.
  • 26 Julai 1805 – gempa bumi di Naples, Calabria, Itali.
  • 26 Ogos 1883 – Gunung Krakatau, Indonesia meletus.
  • 26 Disember 1861 – gempa bumi di Egion, Greece.
  • 26 Mac 1872 – gempa bumi di Owens Valley, Amerika Syarikat.
  • 26 November 1902 – gempa bumi di Bohemia yang kini dikenali sebagai Republik Czech.
  • 26 November 1930 – gempa bumi di Izu Island, Jepun.
  • 26 September 1932 – gempa bumi di Ierissos, Greece.
  • 26 Disember 1932 – gempa bumi di Kansu, China.
  • 26 Oktober 1935 – gempa bumi di Colombia.
  • 26 Disember 1939 – gempa bumi di Erzincan, Turki.
  • 26 November 1943 – gempa bumi di Tosya Ladik, Turki.
  • 26 Disember 1949 – gempa bumi di Imaichi, Jepun.
  • 26 Mei 1957 – gempa bumi di Bolu Abant, Turki.
  • 26 Mac 1963 – gempa bumi di Wakasa Bay, Jepun.
  • 26 Julai 1963 – gempa bumi di Skopje, Yugoslavia.
  • 26 Mei 1964 – gempa bumi di South Sandwich Island, Lautan Atlantik.
  • 26 Julai 1967 – gempa bumi di Pulumur, Turki.
  • 26 September 1970 – gempa bumi Bahia Solano, Colombia.
  • 26 Julai 1971 – gempa bumi di Solomon Island.
  • 26 April 1972 – gempa bumi di Ezine, Turki.
  • 26 Mei 1975 – gempa bumi di North Atlantik.
  • 26 Mac 1977 – gempa bumi di Palu, Turki.
  • 26 Disember 1979 – gempa bumi di Carlisle, England.
  • 26 April 1981 – gempa bumi di Westmorland, Amerika Syarikat.
  • 26 Mei 1983 – gempa bumi di Nihonkai, Chubu, Jepun.
  • 26 Januari 1985 – gempa bumi di Mendoza, Argentina.
  • 26 Januari 1986 – gempa bumi di Tres Pinos, Amerika Syarikat.
  • 26 April 1992 – gempa bumi di Cape Mendocino, California.
  • 26 Oktober 1997 – gempa bumi di Itali.
  • 26 Disember 2004 – tsunami di Aceh, Indonesia.
  • 26 Mei 2006 – gempa bumi di Jogja, Indonesia.
  • 26 Jun 2010 – gempa bumi di Tasikmalaya, Indonesia.
  • 26 Oktober 2010 – tsunami di Mentawai, Sumatera Barat, Indonesia.
  • 26 Oktober 2010 – letusan Gunung Merapi, Pulau Jawa di Indonesia.

Pelik, mengapa semua kejadian di atas berlaku tepat pada 26 hari bulan? Apakah secara kosmologi, jika tiba tarikh tersebut atau pada setiap penghujung bulan, bumi menjadi tidak ‘tenteram’ hingga meletuskan bencana kepada isi alam ini? Atau dengan kata lain, apakah angka berkenaan adalah pencetus malapetaka?

Menurut Penyelidik Astronomi Profesional dari Jabatan Fizik, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Zambri Zainuddin, komuniti sains telah melakukan banyak kajian untuk mengetahui bilakah tarikh tepat berlakunya bencana alam di muka bumi seperti gempa bumi. Tambahan pula, pada hari ini sudah ada teknologi canggih yang boleh mengesan gegaran, walaupun disebabkan oleh sehelai rambut.

Profesor Dr. Zambri Zainuddin

Malangnya, kumpulan pakar sendiri tidak boleh meramal tarikh spesifik bila gempa bumi akan meletus, meskipun terdapat teknologi dan data lengkap mengenainya. Apa yang boleh dilakukan oleh pakar ialah hanya memberi ramalan bila gempa bumi akan berlaku dalam tahun-tahun tertentu.

 

Justeru, pada pandangan saintis, nombor misteri itu bukanlah pencetus bencana, tetapi apa yang berlaku itu ada kemungkinan cuma kebetulan. Begitupun, Dr. Zambri berkata, beberapa andaian yang boleh diambil kira hingga memungkinkan fenomena ini tercetus. Salah satunya, kesan tindak balas matahari, bulan dan bumi.

Pengaruh kombinasi daya tarikan graviti antara matahari, bumi dan bulan juga boleh menyebabkan pasang surut air laut. Bagaimana ketiga-tiga planet itu bergabung adalah sangat kompleks untuk dijelaskan. Namun, sekiranya pasang surut air laut terjadi, kemungkinan aliran air itulah memberi kesan kepada bencana. Bagaimanapun, sehingga ke hari ini belum ada kejadian gempa bumi dan tsunami disebabkan oleh pasang surut air laut.

Para saintis juga meramalkan, jika kedudukan bulan berubah-ubah pada setiap bulan dan berada pada jarak paling dekat dengan bumi, kedudukan bulan dalam keadaan sebegitu dipercayai boleh menjejaskan corak cuaca bumi sehingga mencetuskan bencana alam.