Menjejak Salasilah Manusia Pertama Siri Kedua: Makhluk mirip manusia sebelum Nabi Adam

SIRI pertama telah mengupas tentang siapa manusia pertama di planet bumi. Para ilmuwan Islam tetap meyakini Nabi Adam merupakan manusia pertama menghuni bumi.

Tapi, pengamal ilmu dunia seperti teori Darwin melihat manusia pertama bukanlah Nabi Adam sebaliknya beruk yang berevolusi menjadi manusia. Di tengah-tengah perdebatan ini muncul pula teori bahawasanya sebelum Nabi Adam dikatakan telah ada kehidupan atau makhluk menyerupai manusia di bumi.

Sejauh mana kebenarannya masih menjadi perdebatan di kalangan para ilmuwan. Bagaimanapun, Pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Samsu Adabi Mamat, ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini punya penjelasan tersendiri berhubung perkara tersebut.

Profesor Madya Dr. Samsu Adabi Mamat

Menurut beliau, manusia pertama bukanlah berevolusi atau berasal daripada monyet. Siapa manusia pertama sudah jelas diterangkan dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 30. Ketika Allah s.w.t. berfirman kepada para malaikat; “Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di bumi.” Khalifah yang dimaksudkan itu adalah Nabi Adam.

Nabi Adam dianggarkan hidup sekitar 5872 hingga 4942 Sebelum Masihi (SM). Kalau benarlah fakta ini – Adam hidup dalam tarikh sedemikian, bermakna baginda telah mendiami bumi sekitar 10 ribu tahun dahulu. Tapi, bagaimana pula dengan penemuan arkeologi yang menjumpai fosil manusia pertama di Afrika berusia sekitar 2.5 juta tahun? Sekiranya rangka tersebut bukan manusia seperti yang didakwa, lalu fosil apakah itu?

Profesor Madya Dr. Samsu berkata, agak sukar untuk mencari titik pertemuan antara umur Nabi Adam dan usia rangka tersebut. Angka jutaan itu mungkin boleh diterima tapi ia bukanlah manusia sebenar. Kemungkinan fosil tersebut milik makhluk lain mirip seperti manusia yang telah hidup dan mendiami bumi sebelum Nabi Adam.

Tapi kehidupan yang macam mana dan makhluk seperti apa menghuni planet ketika itu? Kitab al-Tabari ada menjelaskan bahawa kalangan jin dan makhluk lain memang telah ada sebelum zaman manusia. Mereka memerintah bumi dan sangat suka berperang antara satu sama lain.

Bukti kewujudan kehidupan dan makhluk di bumi sebelum zaman manusia telah dinyatakan dalam kitab al-Tabari bahawa Allah menyiapkan alam ini selama tujuh hari.

Setiap satu hari di sisi Allah bersamaan 1,000 tahun di dunia. Bermakna, bumi dan isi alam disiapkan oleh Allah selama 7,000 tahun perkiraan dunia. Bermula hari pertama, iaitu hari Sabtu, Allah ciptakan tanah dan bumi. Hari Ahad, diciptakan gunung-ganang, kemudian dihidupkan tumbuhan pada hari Isnin.

Seterusnya pada hari Selasa, syaitan dijadikan oleh Allah dan diikuti cahaya pada hari Rabu. Hari berikutnya, Khamis, Dia menebarkan haiwan di atas muka bumi. Adam adalah makhluk ciptaan Allah yang terakhir. Adam dicipta pada hari Jumaat, iaitu di antara solat Zuhur sehinggalah terbenam matahari.

Para alim ulama juga percaya, saat Nabi Adam dicipta, Allah telah memerintahkan Malaikat Jibrail turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah sebagai bahan untuk menjadikan manusia pertama itu. Tetapi, bumi enggan membenarkan tanah diambil. Jibrail kembali dan memberitahu kepada Allah tentang perihal itu. Lalu diutus pula Malaikat Mikail dan kemudian Malaikat Israfil. Kedua-duanya juga gagal. Tugas itu diserahkan pula kepada Malaikat Izrail dan kali ini barulah bumi mengizinkan tanahnya diambil.

Keengganan bumi memberikan tanahnya juga sudah jelas menunjukkan bahawa sebelum kejadian Adam, bumi sudah berpenghuni dan ada kehidupan di dalamnya. Begitu pun, perbincangan para ilmuwan tidak berhenti di sini. Masih ada yang cuba mempersoalkan – jika Adam manusia paling awal mendiami bumi, bagaimana pula dengan Zaman Paleolitik, Mesolitik dan Neolitik yang dikatakan merupakan manusia terawal?

Apakah manusia yang digambarkan oleh ahli arkeologi – tinggal dalam gua, tidak pandai bercakap, bercawat dan menggunakan peralatan batu – itu adalah Adam seperti yang dipercayai oleh saintis barat? Mungkinkah juga mereka ini adalah manusia sebelum Adam seperti penemuan fosil? Atau ada suatu zaman yang bergerak bersama-sama dengan Adam? Pastinya terlalu banyak persoalan yang sukar untuk diperjelaskan secara terperinci.

Bagaimanapun, kata Profesor Madya Dr. Samsu, dalam al-Quran ada menjelaskan bahawa Adam diciptakan dengan dibekalkan akal yang sempurna dan menerima ilmu daripada Allah. Maka baginda bukanlah sebodoh seperti yang digambarkan oleh saintis barat. Cuma, ada kemungkinan manusia yang hidup pada zaman batu itu adalah anak cucu Nabi Adam.

Tentang mengapa mereka berkeadaan seperti tidak bertamadun, boleh jadi kerana mereka bertebaran ke seluruh pelosok dunia. Sehingga ada di antara mereka yang keciciran panduan daripada Allah atau mungkin ilmu yang diajarkan itu tidak sampai kepada mereka. Sebagai contoh zaman sekarang, kenapa Amerika Syarikat dikatakan sangat maju dan dari mana mereka mendapat sumber ilmu untuk berjaya?

Mengapa pula Afrika tergolong dalam negara Dunia Ketiga, manakala kemajuan negara Kemboja sekarang ini setaraf kemajuan Malaysia pada tahun 1990an? Jawapannya kerana setiap zaman pasti akan berlaku keciciran pendidikan. Begitulah juga apa yang terjadi ketika zaman prasejarah.

Ikuti kupasan satu fasa zaman bukti kemajuan manusia yang cuba disorokkan.