Mengapa UFO Tidak Wujud!

Salam sejahtera buat semua pembaca. Di ruangan kali ini kita akan lihat fenomena UFO secara keseluruhan dan cuba menyingkap persoalan mengapa UFO tidak wujud pada hemat orang ramai.

Dalam membincangkan soal misteri UFO, terdapat tiga pandangan umum. Kumpulan pertama percaya dengan kewujudan UFO. Kumpulan kedua berpendapat UFO adalah karut. Dan kumpulan ketiga yang menjadi majoriti berada di atas pagar. Bagi mereka yang berada di dalam kelompok ini, mereka akan percaya kewujudan UFO jika melihatnya dengan mata kepala sendiri atau apabila disahkan kewujudannya oleh pihak berwajib. Memandangkan terdapat pandangan yang berbeza-beza tentang fenomena ini, maka saya fikir adalah wajar kita mengetahui mengapa UFO tidak boleh wujud atau lebih tepat lagi secara rasminya.

Persoalan yang ingin dibawa dalam ruangan kali ini ialah jika terdapat berpuluh ribu penglihatan UFO di seluruh dunia, mengapakah kewujudannya tidak disahkan secara rasmi? Mengapa akhbar arus perdana juga tidak menyiarkan atau membincangkan tentang UFO? Di antara yang melihat UFO terdiri daripada mereka yang berwibawa seperti angkasawan, juruterbang, pegawai tentera, pegawai kawalan trafik udara dan sebagainya. (Jika mereka yang berjawatan sebegini berfantasi atau mengalami masalah jiwa, maka mereka tentu tidak layak menyandang jawatan tersebut). Tetapi mengapa sehingga kini kerajaan Amerika ataupun Negara Kesatuan Eropah tidak mengesahkan kewujudannya?

Orson Welles

Untuk memahami mengapa perkara ini terjadi, kita perlu kembali ke tahun 1938 di Amerika Syarikat. Pada tahun tersebut, belum ada lagi cerita tentang UFO. Pada 30 Oktober 1938, seorang juruhebah radio, Orson Welles, yang bersiaran dari New York, telah memaklumkan kepada pendengarnya bahawa makhluk asing dari planet Marikh telah mendarat.

Dianggarkan terdapat sejumlah enam juta pendengar ketika itu mendapat informasi tersebut. Dari jumlah ini, 1.7 juta pendengar percaya cerita tersebut adalah benar dan 1.2 juta lagi telah dicengkam ketakutan.

Penyampaiannya begitu realistik dan meyakinkan sehingga pendengarnya menjadi panik. Ramai yang keluar meninggalkan rumah dalam keadaan ketakutan. Balai polis telah dihujani panggilan telefon untuk mengetahui situasi terkini. Insiden tersebut telah mendapat kritikan hebat daripada pihak akhbar serta mereka yang berpengaruh.

Hakikat sebenar, Orson Welles hanyalah membaca satu episode daripada cerita H.G Wells – The War of the World! Tidak ada makhluk asing yang mendarat. Kejadian ini telah memberi iktibar kepada kerajaan Amerika pada masa kini. Cuba bayangkan jika Presiden Obama membuat satu kenyataan rasmi bahawa mereka ada bukti tentang kewujudan UFO dan makhluk asing. Saya yakin mereka ada buktinya. Perkara pertama yang akan berlaku ialah kejatuhan saham di Wall Street. Ini akan diikuti oleh kejatuhan ekonomi di seluruh dunia.

Ramai yang akan beranggapan dunia akan kiamat. Kemudian akan muncul pula berbagai kumpulan ajaran sesat yang mengetengahkan dakwaan ajaran tentang perkara ini. Kehidupan sosial di seluruh dunia akan jadi kucar-kacir. Kedudukan politik Presiden Obama sendiri akan tergugat.

Dalam kehidupan hari ini, di mana sistem ekonomi, politik dan sosial sangat berkait rapat. Jika satu jatuh, ia akan menarik semua yang lain bersamanya. Jadi implikasi mengakui tentang kewujudan UFO amat besar. Tidak ada pemimpin dunia dalam keadaan yang waras akan mengesahkan kewujudan UFO.

Perdana Menteri Britain, David Cameron, sewaktu kempen pilihan rayanya berjanji akan mendedahkan maklumat tentang UFO yang dimiliki oleh kerajaan. Tetapi bila sudah dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau tidak berani bersuara tentang UFO. Tentu ada rahsia yang pihak awam tidak boleh mengetahuinya. Presiden Obama juga tidak mahu bercakap benar tentang UFO. Beliau sebaliknya bergurau – Jika saya cerita, saya terpaksa bunuh kamu.

Pada tahun 1947 telah lahir istilah ‘Piring Terbang’ bila beratus-ratus kenampakan UFO telah dilaporkan terjadi di Amerika Syarikat. Pihak Tentera Udara Amerika telah diberi tanggungjawab untuk menyiasat kes-kes ini. Memo sulit yang ditulis oleh badan penyiasat di bawah Jeneral Nathan Twining yang bertajuk ‘Pandangan Tentang Piring Terbang’ telah dihantar kepada Ketua Turus Tentera Udara iaitu Brigedier Jeneral Schulgen. Isi kandungan memo tersebut antara lain berbunyi: Fenomena ini adalah benar dan bukan khayalan ataupun rekaan. Memo tersebut adalah pandangan yang dibuat berdasarkan kepada penyiasatan dan perbincangan dengan pihak Institut Teknologi Udara. Laporan ini sebenarnya bukanlah pandangan daripada seorang jeneral saja tetapi dikaji oleh ramai pakar teknikal.

Memo ini telah mencemaskan pihak atasan Tentera Udara. Mereka menyedari implikasi di sebalik kenyataan tersebut lalu membatalkannya serta-merta. Keadaan membisu kerajaan Amerika tentang UFO berterusan sehingga kini. Sebuah badan bebas di Amerika terpaksa membawa kerajaan Amerika ke mahkamah untuk mendapat beribu-ribu fail sulit tentang UFO yang disimpannya. Kerajaan Amerika tentu tidak akan menyimpan fail-fail sulit tentang satu fenomena yang merepek dan tidak wujud!

Sistem pertahanan Amerika Syarikat adalah yang terbaik di dunia. Mereka ada rangkaian satelit dan pertahanan udara yang dikenali sebagai NORAD atau North American Air Defense System. Tujuan utama sistem ini dibangunkan adalah untuk mengawasi peluru berpandu yang mungkin dilancarkan oleh pihak Rusia. Tetapi hari ini Perang Dingin telah tamat dan sistem ini masih lagi aktif beroperasi mengawasi ruang udara Amerika. Tidak boleh dinafikan bahawa Amerika tidak mengesan UFO yang masuk ke ruang udaranya. Ini kerana terdapat banyak insiden di mana pesawat pejuang dikejarkan ke udara untuk memintas UFO. Mereka ada bukti bergambar menunjukkan kewujudan UFO yang dirakam dari skrin radar dan gambar yang diambil oleh juruterbang. Kerajaan Amerika tidak akan mengakui tentang ini semua. Anda boleh selidik sendiri di Internet tentang perkara ini.

Tetapi di Brazil, lain pula ceritanya. Kerajaan Brazil mengumpul serta menyiasat beribu-ribu kes kemunculan UFO di negaranya. Cuba bayangkan jika cerita UFO hanya rekaan dan karut, adakah mereka akan membazir wang, tenaga dan waktu untuk sesuatu yang tidak wujud? Lebih memeranjatkan, seorang jeneralnya secara terbuka menyatakan UFO memang wujud. Walau bagaimanapun, ini hanya pandangan peribadinya dan bukan pendirian rasmi kerajaan Brazil. Tanpa disedari apa yang Tentera Udara Brazil lakukan sebenarnya menunjukkan bahawa UFO memang ada. Jika tidak wujud mengapa mereka terus mengumpul bukti-buktinya sehingga ke hari ini. Berbeza dengan kerajaan Amerika, kerajaan Brazil mengeluarkan semua dokumen tentang penyiasatan UFO yang mereka jalankan kepada pihak awam.

Jika UFO hanyalah fantasi, kerajaan Brazil tentu telah melantik pakar jiwa untuk mengkaji mengapa ada rakyatnya mendakwa melihat UFO. Ini tidak berlaku kerana mereka tahu ada sesuatu yang asing telah menceroboh ruang udara Brazil. Malangnya mereka tidak tahu ia datang dari mana.

Pada satu malam di bulan Mei 1986, pihak tentera udara Brazil mendokumentasikan insiden kemunculan sebanyak 21 buah UFO bersaiz 100 meter yang mengganggu sistem trafik udara Brazil di mana objek-objek tersebut telah muncul di Rio de Janeiro, Sao Jose dan Sao Paulo. Beberapa buah pesawat pejuang telah diarahkan untuk memintas UFO-UFO tersebut tetapi tanpa sebarang hasil. Tidak ada pegawai tentera udara Brazil yang berhadapan dengan situasi ini mengatakan UFO adalah sesuatu yang mengarut. Mereka ada ilmu tentang situasi yang mereka hadapi. Pandangan tentang kewujudan UFO tentu berbeza bagi dua orang yang berada di dua lokasi yang berbeza. Yang berada di tempat kejadian atau yang terlibat menyiasat insiden terbabit menyatakan UFO memang wujud. Tetapi yang berada 100 batu dari tempat kejadian mungkin mengatakan insiden itu hanyalah sesuatu yang mengarut.

Ketua Tentera Udara Brazil, Leftenan Jeneral Juniti Saito, pada bulan Ogos 2010 telah meminta pihak juruterbang tentera dan sivil serta pegawai kawalan trafik udara agar melaporkan sebarang penemuan tentang UFO kepada Pusat Aeroangkasa Brazil. Tidak timbul persoalan bahawa UFO adalah sesuatu yang merepet. Ia adalah satu fenomena yang dipandang serius oleh pihak Brazil. Begitu juga dengan Tentara Udara New Zealand. Pada Disember 2010, mereka telah mengeluarkan lebih 2,000 muka surat dokumen penyiasatan tentang UFO dan makhluk asing yang dilihat di New Zealand. Kes-kes yang terkumpul bermula dari awal 1950an hingga masa kini. Rupa-rupanya pihak Tentera Udara New Zealand menaruh minat pada kemunculan UFO di New Zealand.

Jika kita beranggapan bahawa UFO wujud ataupun tidak wujud, merepek dan sebagainya, ia sebenarnya mencerminkan keupayaan minda kita menganalisis bukti yang ada dengan realiti sebenar keadaan. Sebagai contoh, seorang yang mempunyai ilmu di bidang kosmologi (kejadian alam), astronomi, astrofizik, geofizik dan sebagainya, pada kiraan mindanya, kebarangkalian kewujudan UFO dan makhluk asing tentu berada pada tahap yang tinggi. Tetapi jika pemikiran kita berada dan berkisar di sekitar tempurung kehidupan seharian, maka kebarangkalian kewujudan UFO pada hemat kita tentu berada pada tahap kosong. Fikir-fikirkan lah.

Kerajaan Amerika atau sekutunya mungkin ada bukti atau kebimbangan dengan kemunculan UFO. Rakyat biasa tidak akan mengetahui perkara ini. Tetapi dengan adanya fail atau kabel sulit diplomatik yang akan didedahkan oleh WikiLeaks, semua penyelidik UFO ternanti-nanti apakah yang kerajaan Amerika tahu tentang UFO. Jika UFO hanya sesuatu yang merepek, adakah kerajaan Amerika akan mengklasifikasikannya sebagai SULIT? Hanya minda yang tertutup tidak mahu melihat kepada kebenaran.