Mencipta Hujan Padang Pasir

Sebuah padang pasir di rantau Al-Ain, Abu Dhabi, dilaporkan telah menerima hujan lebat setelah berpuluh tahun kekeringan tanpa sumber air.

Lebih membingungkan, penduduk di sekitar kawasan itu mendakwa kehadiran hujan tersebut turut diselangi dengan ribut petir.

Kehadiran hujan tersebut telah menimbulkan banyak spekulasi di kalangan ahli meteorologi seluruh dunia. Dengan kadar hujan di bawah 30 milimeter setahun, adalah mustahil kawasan gersang seperti padang pasir Al-Ain mampu menerima hujan yang lebat. Ekoran fenomena ajaib itu, kadar hujan di kawasan tersebut telah meningkat dengan mendadak.          

Bagaimanapun, persoalan itu akhirnya terjawab apabila sebuah akhbar tempatan, Sunday Times telah melaporkan ia adalah hujan buatan yang dihasilkan menggunakan teknologi ion. Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed Al-Nahyan dikatakan telah mengupah sekumpulan saintis untuk projek tersebut dan berjaya menghasilkan 50 kali hujan lebat pada tahun lalu.

Sebelum ini, iaitu pada keluaran Februari 2010, Infiniti telah mengupas secara terperinci dan membuat perbandingan tentang proses mengalihkan awan hujan menggunakan kaedah tradisional dan kaedah moden. Kaedah tradisional dilakukan oleh pawang hujan yang menggunakan ritual dan serta jampi serapah, manakala teknologi moden menggunakan aliran ion.

Berkenaan dengan pawang hujan, walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik – hanya sekadar logik, Pengarah Komunikasi Korporat, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Ramlan AB Rahman, tidak menafikan aktiviti paranormal seperti itu mampu mempengaruhi perubahan cuaca.

Sementara itu, projek mengalihkan awan hujan menggunakan aliran ion yang diketuai oleh seorang pengkaji Rusia, Aleksandr Chizhevsky sebelum ini diragui oleh banyak pihak di seluruh dunia. Malah, pihak JMM juga turut mengesahkan ia adalah sebuah projek yang gagal.

Bagaimanapun, kaedah yang sama telah diaplikasikan semula oleh sekumpulan saintis untuk menghasilkan hujan di kawasan padang pasir di UAE. Namun, tujuannya agak berbeza kali ini. Jika Aleksandr Chizhevsky menggunakan perangkat ionizer untuk menolak awan mendung ke tempat lain dan membubarkan awan, tetapi kali ini saintis menggunakan ionizer untuk menarik hujan ke kawasan gurun.

Para saintis ini menggunakan pengion gergasi berbentuk seperti terendak lampu yang dipasang pada batang-batang besi untuk menjana medan partikel bercaj negatif yang dipanggil elektron. Keadaan ini akan menggalakkan pembentukan awan dan diharap dapat menghasilkan hujan.

Menurut pengasas syarikat Metro Systems International dari Switzerland yang bertanggungjawab ke atas projek tersebut, Helmut Fluhrer, kejayaan kaedah tersebut telah memberi satu inovasi baru ke dalam dunia sains. Selepas ini, projek tersebut akan dikembangkan ke kawasan-kawasan yang dikatakan sesuai.

Pada tahun lalu sahaja, Metro Systems telah membina lima tapak pengionan yang setiap satunya mengandungi 20 pemancar. Pemancar tersebut mampu menghantar bertrilion-trilion ion yang membentuk awan ke atmosfera. Dikatakan, projek itu telah menelan belanja sebanyak tujuh juta Paun. Bagaimanapun, perbelanjaan tersebut dikatakan berbaloi kerana berjaya menghasilkan hujan buat pertama kalinya di padang pasir rantau Al-Ain.

Di sebalik kaedah ion ini, terdapat satu lagi kaedah lain yang biasanya digunakan di seluruh dunia iaitu pembenihan awan. Kebiasaannya, kawasan yang dilanda kemarau akan menggunakan kaedah pembenihan awan di mana titisan kecil atau zarah (nuklei kondensasi) akan disemburkan ke dalam awan untuk meningkatkan proses pembentukan hujan. Oleh sebab terdapat arus menaik dan menurun di dalam awan, proses perlanggaran dan percantuman di antara nuklei kondensasi dan titisan air di dalam awan akan terjadi.

Proses ini berterusan sehingga titisan air mencapai saiz yang lebih besar dan berat, sehingga jatuh ke bumi sebagai hujan. Bagaimanapun, jelas Ramlan, kaedah ini tidak sesuai digunakan di kawasan gurun kerana bentuk muka bumi yang tidak mengizinkan serta keadaan cuaca yang terlalu terik dan menyebabkan penyejatan. Justeru, kaedah pengionan adalah lebih sesuai untuk menyejukkan ‘keganasan’ cuaca di daerah gurun yang gersang.