Melenggang perut ancam nyawa bayi? - Infiniti

Melenggang perut ancam nyawa bayi?

MASYARAKAT Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun-temurun. Lenggang perut, umpamanya salah satu tinggalan warisan yang masih diteruskan  sampai ke hari ini, meskipun jumlah pengamalnya tidak seramai seperti dulu.

Bagi masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia, adat ini tidak disebut dengan nama Lenggang Perut, tetapi dikenali sebagai Kirim Perut. Di sesetengah tempat pula ia dipanggil dengan nama Mandi Tian. Manakala orang Jawa menyebutnya sebagai Mitoni, berdasarkan kata dasar `pitu’ atau bermaksud tujuh bulan.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa budaya orang lama ini turut dilakukan sampai sekarang oleh masyarakat India. Amalan tersebut dinamakan sebagai adat Valaikaappu.

 

Walaupun, amalan tradisi ini bukan suatu perkara baru bagi generasi moden kini, namun bagi yang tidak pernah melakukannya pasti tertanya-tanya apa motif sebenar ia dilakukan?

Menurut Pensyarah Budaya di Pusat Pengajian Bahasa Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), upacara melenggang perut lazimnya dilangsungkan ke atas wanita yang sedang mengandung anak sulung, ketika usia kandungan dalam lingkungan tujuh bulan.

Antara sebab mengapa ia dijalankan adalah bertujuan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin bakal menimpa wanita hamil. Paling penting, adalah untuk membetulkan kedudukan bayi di dalam perut si ibu ke tempat yang sepatutnya, iaitu bahagian kepala bayi terletak di pintu rahim. Posisi ini penting bagi memudahkan si ibu bersalin kelak.

Yusmilayati Yunos

Untuk melakukan upacara ini, Yusmilayati berkata, seorang bidan kampung akan dipanggil dan segala kelengkapan penting hendaklah disiapkan sebelum proses ritual dimulakan. Antaranya, tujuh helai kain batik baru yang berlainan warna, satu gantang beras, sebiji buah kelapa, beberapa urat benang, satu batang damar, sedikit minyak kelapa atau minyak urut, beberapa batang lilin dan sebuah tepak sirih yang lengkap dengan isinya.

Setelah semua barang tersebut disediakan, tok bidan akan memulakan upacara dengan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain batik secara melintang. Ibu hamil kemudian diarahkan berbaring di atas helaian kain tadi dan perutnya akan diurut dengan minyak kelapa secara perlahan. Selepas itu, kelapa yang telah dikupas akan digolek-golekkan di atas perut ibu dari atas ke bawah sebanyak tujuh kali. Pada kali yang ketujuh, kelapa akan dilepaskan dan dibiarkan jatuh bergolek daripada perut ibu tadi, sambil diperhatikan oleh tok bidan.

Sekiranya kedudukan mata kelapa menghala ke atas, dipercayai si ibu sedang mengandungkan anak lelaki. Tetapi jika ia menghala ke bawah, dijangkakan si ibu bakal melahirkan anak perempuan. Tok bidan kemudiannya akan memegang setiap hujung kain menggunakan kedua-dua belah tangan, lalu kain tersebut diangkat sambil dilenggang-lenggangkan badan ibu tadi. Dari sinilah kenapa ritual ini dinamakan Lenggang Perut.

Persoalannya, apakah amalan ini secara saintifiknya memang benar-benar dapat membetulkan kedudukan bayi dalam rahim wanita hamil atau ia hanya sekadar kepercayaan orang-orang tua?

Apabila diajukan soalan ini, Pakar Sakit Puan & Rawatan Kesuburan dari Hospital Pusrawi, Dr. Adilah Ahmat memberitahu, beliau tidak mempunyai pandangan negatif pada amalan berurut, terutama dalam adat melenggang perut kerana ia dapat melegakan perasaan si ibu. Pada masa yang sama, si ibu boleh berkongsi cerita dengan orang yang lebih berpengalaman tentang masalah yang dialami.

Dr. Adilah Ahmat

Tetapi sebelum melakukannya, si ibu harus berhati-hati sebab dibimbangi berlaku perkara-perkara yang boleh membahayakan dirinya sendiri dan bayi dalam kandungan. Oleh itu, dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan dan berjumpa doktor terlebih dahulu bagi mengetahui kedudukan bayi. Jika keadaan uri rendah atau bahasa perubatannya disebut sebagai plasenta previa, tidak digalakkan disentuh, apatah lagi diurut kerana risau berlaku pendarahan.

Sekiranya berurut sekali pun bagi menaikkan uri, perkara itu tidak akan berlaku. Sebabnya, uri melekat kuat pada dinding rahim ibu. Namun demikian, urutan yang kuat  mungkin boleh menyebabkan uri akan melekang dari dinding rahim atau dipanggil sebagai abrutio plasenta. Jika ini terjadi, nyawa bayi boleh terancam akibat tidak lagi mendapat bekalan oksigen, kerana uri berfungsi sebagai perantara antara ibu dan janin.

Tambah Dr. Adilah, selain kemungkinan itu, secara teori tidak mustahil tali pusat juga boleh tersimpul atau terbelit. Kesihatan si ibu pula akan terjejas kerana urutan yang kuat boleh mencederakan saluran darah, seterusnya mencetuskan pembentukan darah beku secara menyeluruh di dalam tubuh. Salur darah yang tercedera ini mendorong kepada ketulan darah tercerai dan kemudian menyumbat paru-paru. Keadaan ini akan menyebabkan si ibu sesak nafas dan rebah.

Justeru, untuk apa berurut jika kedudukan bayi itu sendiri sememangnya sudah betul. Secara semulajadi kalau tidak melenggang perut pun, jelas Dr. Adilah, lazimnya kedudukan bayi yang di dalam kandungan itu akan kembali normal apabila mencapai usia lapan bulan.

Berdasarkan kajian, pada usia kandungan 28 minggu, 20 hingga 30 peratus janin diperiksa berada dalam kedudukan songsang. Namun demikian, dalam tempoh pembesaran seterusnya, kebanyakan janin akan memusing sendiri secara spontan tanpa bantuan luaran untuk ‘membetulkan’ kedudukannya kepada normal (kepala di bawah). Sehinggalah pada usia 38 minggu, hanya tinggal tiga hingga empat peratus sahaja janin yang masih berkedudukan songsang.

Dalam hal ini Dr. Adilah menerangkan, sama ada melenggang perut atau tidak, kebanyakan janin (yang dahulunya songsang) dijangka akan mengubah kedudukan kepada normal semula secara spontan tanpa bantuan sesiapa apabila menjelang usia kandungan 38 minggu. Yang tiga peratus itu sajalah akan diberi pilihan sama ada ingin mencuba urutan ECV atau nama penuhnya External Cephalic Version. Fungsi EVC adalah untuk membetulkan posisi bayi atau disebut sebagai lenggang perut secara perubatan moden.

Prosedur ini hanya dilakukan pada wanita yang sedang hamil 37 hingga 38 minggu – setelah memenuhi beberapa kriteria penting. Wanita itu juga perlu diawasi di dalam hospital agar dalam keadaan penuh bersedia untuk melakukan pembedahan Caesarean secara kecemasan. Risau kalau-kalau berlaku komplikasi. Pada masa yang sama, ubat-ubatan bagi mengelakkan kontraksi pramatang juga lazimnya diberikan kerana kemungkinan janin akan memusing semula ke kedudukan songsang masih boleh berlaku.

Bagaimanapun, prosedur ini hanya dilakukan oleh doktor yang berpengalaman kerana risikonya boleh dikatakan hampir sama dengan amalan melenggang perut.