Kuda berantena - Infiniti

Kuda berantena

Sejarah telah membuktikan kuda merupakan salah satu haiwan yang telah wujud sejak zaman dinosaur lagi.

Sejak 4,000 tahun Sebelum Masihi (SM), manusia sebenarnya sudah bijak menggunakan kuda sebagai haiwan tunggangan. Selain itu ia juga turut dijadikan haiwan ternakan.

Menunggang kuda juga merupakan salah satu sunnah nabi dalam agama Islam yang baik untuk diikuti. Kuda juga merupakan haiwan pilihan untuk membawa serta membantu bala tentera berperang. Memiliki susuk tubuh yang tinggi dan besar, jelas sekali ia membantu melawan serangan pihak musuh.

Timbalan Pengarah Zoo Negara Malaysia, Dr. Muhammad Daniel Felix.

Pada zaman kini, kuda telah menjadi salah satu sukan di dunia dan juga dianggap trend sukan yang paling mahal buat masa ini. Jika dahulu kita pernah mendengar ayat seperti ‘membeli seekor kuda, sama seperti membeli sebuah kereta’, namun jelas Timbalan Pengarah Zoo Negara Malaysia, Dr. Muhammad Daniel Felix, zaman sekarang boleh dikatakan setiap orang mampu memiliki seekor kuda tetapi bergantung kepada kepentingan masing-masing.

Menurut Dr. Felix, hari ini, kuda yang menjadi pilihan bagi kebanyakan penggemar haiwan ini adalah datangnya dari baka kuda Arab. Apa yang menariknya tentang kuda baka Arab ini ialah mereka menjadi pilihan dalam pertandingan lumba kuda mahupun sukan-sukan yang terlibat disebabkan kepantasan serta kekebalan yang dimiliki.

Selain itu, kuda adalah sejenis haiwan yang memerlukan penjagaan rapi. Ini kerana haiwan mudah dijangkiti penyakit dan bakteria. Malahan, penjagaan seekor kuda terutamanya baka Arab boleh mencecah US$200 untuk tempoh seminggu sahaja.

Apa yang menariknya tentang haiwan ini, tidak kira daripada spesies kuda mana pun, mereka mempunyai satu persamaan iaitu naluri yang tinggi terhadap persekitaran. Kata Dr. Felix, kuda begitu sensitif terhadap persekitaran. Sentiasa peka serta mempunyai naluri yang kuat terutamanya daripada segi sentuhan dan juga ancaman. Walaupun hanya seekor lalat yang hinggap di bahagian ekor atau pun ada dedaun gugur di badannya, kuda tersebut pasti akan sedar.

Kuda hanya mampu melihat dua warna.

Telinga kuda juga turut digelar ‘antena’ kerana kepekaannya terhadap bunyi persekitaran. Kelebihan ini juga turut membantu haiwan ini untuk meneruskan hidup biarpun ia merupakan haiwan yang rabun warna. Sebenarnya kuda hanya mampu melihat dua warna saja yang digelar red-green color blindness.

Walaupun begitu, menurut Dr. Felix, perkara ini bukanlah dianggap satu kekurangan kerana habitat haiwan ini sendiri boleh diklasifikasikan sebagai tidak terlalu berbahaya. Haiwan ini hidup di tanah lapang terutamanya di kawasan tumbuhan hijau. Selain boleh berlari dengan pantas, tendangan kaki belakang kuda juga mampu melindunginya. Namun, jika tentangannya mengenai seseorang, ia boleh menyebabkan kelumpuhan atau kematian.

Haiwan ini juga mempunyai sifat keterujaan yang tinggi. Terutamanya di bahagian dahi, telinga dan juga mata. Disebabkan itu, kebanyakan mereka yang meminati  atau menggemari haiwan spesies kuda ini, dinasihatkan supaya tidak sesekali menyentuh bahagian belakang atau pun depan bagi mengelakkan berlaku kecelakaan yang tidak diingini. Sebaik-baiknya, sentuhlah melalui sisi kiri atau kanan dan usap tengkuk mereka terlebih dahulu bagi mewujudkan kemesraan.

Kuda akan melahirkan seekor anak sahaja walaupun pernah ada yang melahirkan kembar. Walaupun begitu, jelas Dr. Felix, ia jarang ditemui. Kuda betina mempunyai sifat dalam memilih pasangan hidupnya. Meskipun diletakkan di dalam kandang yang sama, jika si betina tidak ‘berminat’ dengan si jantan, maka tidak akan berlakulah persenyawaan benih. Namun, kebanyakan pemilik haiwan ini akan memaksa kuda betinanya ‘bersama’ dengan si jantan yang telah dipilih yang biasanya daripada baka kuda Arab.

Di seluruh dunia, hampir 100 juta ekor kuda merupakan jenis ‘working horse’  dan ia boleh ditemui di mana sahaja. Sebenarnya, hormon yang dimiliki oleh kuda mampu menjadi ubat kepada ibu mengandung selain susunya yang boleh di minum. Amalan meminum susu kuda banyak dipraktikkan dalam masyarakat Mongolia.