Kicap dari rambut manusia - Infiniti

Kicap dari rambut manusia

SUKA makan kicap? Memang tidak dinafikan, ramai di antara kita gemar makan nasi bercampur kicap. Namun berhati-hati ketika mengambil penyedap makanan berupa cecair berwarna hitam legam itu. Ini kerana, terdapat laporan mengejutkan dari China bahawa sebahagian kicap di pasaran diproses dari rambut manusia.

Berita meloyakan ini telah didedahkan oleh sebuah stesen televisyen negara tersebut, China Central Television (CCTV) pada akhir tahun 2003. Awalnya, wartawan TV tersebut ditugaskan untuk membuat penyelidikan bagi mengungkai persoalan, mengapa sebahagian kicap di pasaran China dijual dengan harga yang sangat murah.

Salah satu kicap yang dikesan dijual dengan harga murah adalah jenama Hongshuai Soy Sauce. Oleh kerana terlalu murah, kebanyakan isi rumah dan restoran beralih untuk menggunakan produk ini. Apatah lagi, rasanya juga dikatakan sama dengan jenama-jenama lain yang harganya jauh lebih mahal.

Hal ini menarik perhatian pihak media untuk menjalankan siasatan ke salah sebuah kilang memproses kicap jenama tersebut. Namun, alangkah terkejutnya wartawan-wartawan terlibat kerana mereka menemukan sesuatu yang langsung tidak pernah terduga oleh logik akal. Pihak pengilang rupanya telah menggunakan rambut manusia sebagai bahan tambahan dalam proses pembuatan produk mereka. Inilah rupa-rupanya rahsia mengapa kicap jenama tersebut dijual dengan harga murah.

Loya tekak mendengarkan hal ini. Persoalannya, mengapa rambut manusia yang harus dijadikan sumber bagi membuat cecair hitam itu? Apakah rambut kita ini memiliki suatu keistimewaan yang tidak ada pada benda lain, terutama dalam menghasilkan kicap?

Peliknya, walaupun berita pendedahan ini menjadi tajuk utama media di sana, tapi masih ramai lagi yang tetap setia menggunakan kicap berkenaan. Ini kerana, pengguna mempersoalkan, jika benar produk tersebut dibuat daripada rambut, mengapa selama mereka memakannya langsung tidak ditemukan rambut seperti yang didakwa?

Berdasarkan siasatan media, didapati rupa-rupanyanya rambut manusia yang dikutip dari salon rambut dan hospital tidak dimasukkan sehelai demi sehelai ke dalam campuran kicap. Bulu yang tumbuh di atas kepala itu sebaliknya akan dikumpulkan terlebih dahulu, sebelum dihantar ke sebuah kilang di wilayah Hubei. Di sana, longgokkan rambut manusia akan diekstrak menjadi serbuk atau bahan cecair seperti sirap. Selain rambut manusia, bulu binatang juga dilaporkan menjadi pilihan mereka!

Persoalannya, mengapa kaedah kotor ini dilakukan? Menurut Pensyarah Teknologi Makanan dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr. Zainal Samicho, dari sudut sains, rambut manusia mengandungi asid amino dan ia menjadi asas dalam pembentukan protein.

Secara tradisionalnya pula, kicap dihasilkan menggunakan kacang soya sebagai bahan asas kerana ia kaya dengan protein. Caranya, soya terlebih dahulu akan diperam dan melalui dua peringkat fermentasi yang dipanggil koji serta moromi. Begitupun, proses pemeraman pada peringkat moromi terutamanya, kadangkala memakan masa antara enam bulan hingga setahun untuk memecahkan protein menjadi asid amino dan komponen perasa lain.

Justeru, untuk mempercepatkan proses fermentasi, rambut manusia yang telah dijadikan serbuk asid amino tadi dicampurkan ke dalam penapaian sebagai alternatif bagi menggantikan kacang soya.  Kaedah memualkan ini dikatakan bukan saja dapat menjimatkan masa, malah kosnya jauh lebih murah daripada menggunakan soya.

Tapi, bagaimana pula kesannya kepada pengguna yang memakan kicap dari rambut manusia ini?

Profesor Madya Dr. Zainal Samicho

Jelas Dr. Zainal, jika kicap diproses daripada rambut manusia, satu perkara yang harus diambil kira ialah soal kebersihan. Ini kerana seperti yang dilaporkan, kebanyakan rambut dikutip dari salon rambut dan hospital. Keadaannya pula bercampur dengan kotoran lain seperti darah dan najis. Apa yang dikhuatiri ialah keadaan kotor ini mengundang pembiakan mikrob atau organisma halus seperti bakteria, virus dan alga yang biasanya hanya dapat dilihat dengan menggunakan mikroskop.

Lebih dibimbangi, sekiranya rambut tidak dirawat dengan cara yang betul sebelum digunakan untuk membuat kicap, ia mungkin boleh mendatangkan mudarat dan membahayakan pengguna.

Itu soal rambut manusia, tapi bagaimana pula jika kicap itu dicampur dengan bulu haiwan seperti babi dan anjing? Jika pemakannya bukan beragama Islam, itu tidak menjadi masalah. Yang amat dirisaukan ialah penggunanya adalah beragama Islam kerana halal bukan saja dilihat pada soal kebersihan, tetapi juga dari mana sumbernya.

Jangan risau kerana kata Dr. Zainal, penyalahgunaan ini cuma terjadi di China dan di Jepun sahaja, tapi tidak di negara kita.