Keranda Tergantung Milik Sagada - Infiniti

Keranda Tergantung Milik Sagada

Masyarakat suku kaum Sagada di Filipina telah mengamalkan upacara pengebumian  mayat dalam keranda tergantung sejak 2000 tahun lalu.

Tradisi ini muncul kerana kepercayaan suku kaum Sagada tentang kehidupan selepas kematian.

Menurut kepercayaan mereka, seseorang yang meninggal dunia perlu dipersiapkan tempat persemadian yang tinggi supaya roh mereka mudah menghampiri syurga. Justeru itulah, dinding bukit batu kapur menjadi tempat yang sesuai untuk menggantung keranda yang berisi mayat kaum Sagada.

Bagaimanapun, bagi sesetengah penduduk, mengabadikan mayat orang tersayang di dinding bukit batu kapur merupakan satu cara untuk memperingati dan menjaga khazanah bangsa untuk tempoh yang lama. Sebab itulah, sebelum upacara pengebumian dilakukan, keranda terlebih dahulu diukir dan beberapa ritual dilakukan supaya roh tenteram dan aman.

Kadang kala, sewaktu upacara-upacara ini berlangsung, ada tulang temulang si mati retak dan patah lalu jatuh bertaburan di bawah lantai batu kapur. Keadaan itu menyebabkan ada di kalangan pelancong menjadikan tulang temulang itu sebagai cenderahati yang cukup berharga sewaktu melawat tapak perkuburan tergantung ini.

Disebabkan terlalu lama berada di dinding batu kapur, ada sesetengah keranda sudah mula diseliputi stalaktit. Lama kelamaan, keranda itu akan menjadi sebahagian daripada dinding batu kapur.

Sagada adalah sebuah daerah terpencil yang terletak kira-kira enam jam perjalanan atau 12 jam pada musim hujan dari Pulau Luzon di Banaue, utara Manila.