Kelawar kenali rakan seperti manusia - Infiniti

Kelawar kenali rakan seperti manusia

Jika menyentuh tentang kelawar, ramai yang berpendapat kelawar merupakan haiwan yang selalu dikaitkan dengan kuasa jahat. Anggapan bahawa kelawar mempunyai kaitan dengan unsur-unsur jahat disebabkan kelawar merupakan haiwan yang keluar memburu pada waktu malam dan mempunyai rupa yang kurang menyenangkan. Mereka juga turut dikatakan menghisap darah manusia.

Cerita mitos drakula yang menghisap darah manusia ini begitu popular sehingga pernah diterbitkan menjadi sebuah filem. Ada pendapat yang menyatakan kisah drakula pada asalnya hanyalah khayalan penulis Bram Stoker yang menghasilkan novel seram yang bertajuk ‘Dracula’. Bagaimanapun, kebanyakan penyelidik percaya kekejaman Dracula seperti digambarkan dalam novel Stoker itu diinspirasikan oleh sejarah hidup seorang pemimpin kejam Romania iaitu Vlad III Dracula.

Timbalan Pengarah Zoo Negara Malaysia, Dr. Muhammad Daniel Felix.

Walaupun begitu, menurut Timbalan Pengarah Zoo Negara Malaysia, Dr. Muhammad Daniel Felix, kelawar sebenarnya mempunyai 1100 spesies di dunia dan di antaranya adalah jenis kelawar vampire yang sering dikaitkan dengan kisah drakula. Kelawar jenis vampire ini mudah didapati di Amerika Latin terutamanya di Mexico, Brazil, Chile dan juga Argentina.Kelawar terbahagi kepada dua, pertama Keluang (Megabats) dalam sub-susunan Megachiroptera, dan kedua kelawar (microbats) dalam sub-susunan Microchiroptera.

Vampire.

Jelas Dr. Felix, sememangnya kelawar vampire ini menghisap darah. Begitu pun, kelawar ini sebenarnya tidak secara terus hinggap dan menghisap darah. Kebiasaannya, kelawar vampire akan menghisap darah haiwan ternakan seperti khinzir dan lembu sahaja. Mereka ini akan menghisap darah ketika haiwan-haiwan ini tidur. Kelawar jenis ini akan hinggap di bahagian tengkuk, kemudian akan menggigit menggunakan taring.

Menariknya kata Dr. Felix, air liur kelawar mempunyai sejenis bahan yang boleh menjadikan darah tersebut tidak beku. Justeru, darah daripada haiwan berkenaan akan terus mengalir, dan inilah sebenarnya minuman bagi kelawar vampire. Kebanyakan spesies kelawar vampire ini mempunyai  fizikal yang kecil berbanding kelawar yang terdapat di Malaysia.

Kelawar juga mempunyai kebolehan mengenali suara rakan-rakan yang dikenalinya dan keadaan ini mirip seperti manusia. Hasil kajian ini diperoleh daripada penelitian yang diketuai oleh Silke Voigt-Heucke dari The Leibniz Institute for Zoo and Wildlife Research, Berlin. Penelitian yang sama dilakukan di Panama dan turut  menunjukkan kelawar mampu mengidentifikasikan anggota spesies mereka sendiri.

Secara amnya, kelawar sukar berjalan di atas tanah dan hanya kelawar vampire saja mampu bergerak dengan tangkas di atas tanah. Jari-jari kelawar adalah panjang dan halus. Sesetengah spesies sayap kelawar memanjang sehingga ke kaki dan ekor. Gabungan sayap dengan jari pada kelawar ini memberikan kelawar keupayaan gerakan terbang yang tangkas dan menakjubkan. Kelawar juga mampu untuk terbang dengan perlahan.

Kelawar juga menjadi haiwan yang unik kerana merupakan satu-satunya mamalia yang mempunyai keupayaan untuk terbang seperti burung. Menurut Dr. Felix, kelawar sebenarnya boleh dikategorikan sebagai haiwan terancam di dunia. Daripada 1100 spesies yang ada di dunia, 118 spesiesnya terdapat di Malaysia. Walaupun begitu, jelas Dr. Felix, kajian mengenai kelawar begitu terhad. Ini kerana terdapatnya kekangan waktu dan juga habitat haiwan ini sendiri. Sukar untuk kita mengawalnya kerana mereka memburu pada waktu malam dan keluar dalam satu kelompok yang mempunyai berjuta-juta ekor kelawar pada sesuatu masa.

Sistem gema (echolocation).

Selain itu, kelawar mempunyai satu deria yang unik iaitu sistem gema (echolocation) yang pertama kali dibuktikan oleh Donald Griffin. Kelawar mampu menghasilkan 30-60 gelombang bunyi klik ultrasonik yang dibalikkan oleh permukaan sekeliling dan kembali sebagai gema kepada telinga kelawar.

Bunyi yang dikembalikan ini membantu kelawar untuk menentukan arah, jarak, dan bentuk keadaan sekeliling. Ia juga untuk menentukan kedudukan mangsa ketika memburu serangga. Bunyi ini sebenarnya membantu kelawar daripada terlanggar objek di hadapannya kerana kelawar mempunyai mata yang kecil. Ia juga merupakan asas keupayaan mereka untuk terbang di dalam kegelapan malam atau masuk di dalam gua yang sempit.

Menariknya tentang kelawar ini, selain najisnya yang dijadikan baja, kelawar juga dapat membantu menghalang serangga perosak yang memakan hasil tanaman manusia. Jelas Dr. Felix, kelawar akan mengawal jumlah serangga pada waktu malam dan pernah ada penyelidik menyatakan, pada satu-satu malam, kelompok  kelawar ini mampu memakan serangga sehingga 10 tan. Selain itu, kelawar juga membantu menyebarkan baka tumbuhan liar di dalam hutan terutamanya debunga antara bunga.

Kematian kelawar yang tertinggi pernah dicatatkan di Kentucky, Amerika Syarikat, pada tahun 1960an. Kejadian berlaku di mana sebuah gua tempat tinggal kelawar telah menjadi tarikan pelancong. 100,000 ekor kelawar dikatakan mati akibat kelaparan kerana terlalu kerap terjaga dari pertapaan (hibernasi). Ini kerana, sekiranya kelawar terjaga terlalu kerap ketika bertapa terutamanya pada pertengahan musim sejuk, kelawar akan mati kelaparan disebabkan semua lemak badan telah habis digunakan sebagai tenaga.