Kapsul pelindung bencana - Infiniti

Kapsul pelindung bencana

Masihkah anda ingat tentang bencana tsunami yang pernah menggegarkan dunia suatu ketika dulu? Tragedi menyayat hati yang mengorbankan sejumlah besar nyawa itu telah melanda beberapa buah negara termasuk Malaysia pada tahun 2004. Beberapa tahun selepas kejadian, sebuah ciptaan baru dihasilkan sebagai langkah persediaan bagi menghadapi bencana pada masa akan datang.

Ia dinamakan sebagai kapsul pelindung bencana atau lebih khusus kepada tsunami. Direka dengan bentuk kepungan membulat, menyebabkan objek ini dikenali dengan kapsul. Tujuannya adalah untuk melindungi pengguna apabila berlakunya sebarang bencana alam.

Bentuk sfera dipilih berdasarkan keluasan yang mampu memuatkan jumlah individu yang ditetapkan. Menariknya, ciptaan unik ini didatangkan dalam lima bentuk berbeza. Begitu pun, rupa fizikalnya masih lagi sama iaitu bulat. Cuma yang membezakan kelima-lima objek ini adalah saiz dalaman yang boleh menempatkan jumlah pengguna.

Kapsul SC10001 boleh memuatkan seramai 10 orang untuk berlindung di dalamnya.

Sementara itu, kelima-lima model berkenaan iaitu SC2001, SC4001, SC6001, SC8001, SC10001boleh memuatkan seramai dua, empat, enam, lapan dan 10 orang individu di dalam kapsul. Untuk mengukuhkan lagi rekaan luar biasa ini, objek pelindung ini telah diwujudkan dengan beberapa ciri mengagumkan.

Kapsul pelindung bencana mampu terapung di atas permukaan air.

Antaranya seperti ujian ketahanan dalam situasi lasak yang telah diuji oleh pereka. Untuk pengetahuan pembaca, objek pelindung ini pernah dijatuhkan ke atas permukaan simen dan dimasukkan ke dalam laut. Tujuannya tidak lain adalah bagi membuktikan kemampuan kapsul dalam melindungi orang ramai. Ternyata, hasilnya memuaskan kerana ia kekal terapung di atas permukaan air dan tidak pecah.

Selain itu, objek berbentuk sfera ini memiliki keunikan sistem keselamatan yang tersendiri. Dinamakan sebagai ‘personal safety system’ (PSS), ia dijangkakan dapat melindungi orang ramai daripada bencana seperti tsunami, ribut, puting beliung dan gempa bumi. Perisian keselamatan berkenaan membolehkan keadaan pengguna berada dalam situasi yang terkawal.

Tidak hanya itu, sistem kedudukan global (GPS) turut dibekalkan di dalam kapsul bagi memudahkan pengguna semasa berada di dalamnya. Lagi pula, kapsul pelindung ini memiliki tingkap kecil bagi membolehkan individu melihat keadaan luar. Jadi, mereka tidaklah ‘terkurung’ tanpa mengetahui situasi sebenar yang sedang berlaku.

Tambahan lagi, berada di dalam objek asing sudah tentu menyebabkan orang ramai sedikit kekok. Disebabkan itu, pelbagai ciri keselamatan asas dibekalkan menerusi ciptaan luar biasa ini. Selain GPS, kapsul turut didatangkan dengan lampu isyarat sebagai penanda. Penggunaan lampu antara simbol penting kepada pengguna objek pelindung. Bayangkan, jika anda berada di dalamnya tetapi tidak mempunyai sebarang isyarat untuk memberitahu orang awam. Sudah pasti sukar bukan?

Malah, lebih menguja apabila kelengkapan asas turut disiapkan di bahagian dalam kapsul bagi mengelakkan kejadian buruk yang lain. Peralatan kesihatan, tangki udara, abah-abah serta makanan dan minuman telah diletakkan di dalam objek. Setidak-tidaknya, apabila berlaku kejadian buruk, orang awam dapat berlindung dengan keperluan asas sementara menanti bantuan daripada pihak keselamatan.

Dalam pada itu, bagi memudahkan ia dikesan oleh pihak bantuan, warna terang telah ditetapkan sebagai ton terhadap ciptaan luar biasa ini. Sehingga kini, merah dan kuning menjadi pilihan utama pereka untuk menonjolkan rekaan kapsul pelindung bencana.

Sebenarnya, idea kreatif kapsul pelindung ini datangnya daripada jurutera pesawat, Julian Sharpe pada tahun 2010. Ketika itu, dia sedang menghabiskan waktu hujung minggu bersama keluarga di Pantai Cannon, Oregon. Tragedi tsunami yang meragut ramai nyawa secara tidak langsung memberikan idea kepada Sharpe untuk mewujudkan sebuah kapsul khas. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi kemungkinan musibah yang akan datang.

Perkara itu kemudian dibawa ke peringkat lebih serius bagi mewujudkan ciptaan tersebut. Sharpe telah membawa model rekaannya menyertai pertandingan ‘NASA Tech Brief Innovation 2011’. Mengagumkan, objek unik ini berjaya tersenarai sebagai 10 finalis terakhir dan menerima pelbagai respons positif daripada orang ramai. Untuk maklumat, objek keselamatan ini dijual dengan harga sekitar $USD 10,000 (RM 4,0876).