Jebak Puyuh - Infiniti

Jebak Puyuh

Pada zaman dahulu, burung puyuh tidak diternak tetapi ditangkap daripada habitat liarnya. Namun, menangkap puyuh liar tidaklah mudah. Ini kerana spesies burung ini terkenal dengan sifatnya yang kelihatan jinak tetapi amat sukar didekati atau ditangkap dengan tangan kosong.

Oleh itu, orang Melayu dahulu telah mencipta sejenis alatan khas bagi memerangkap burung puyuh liar ini.

Kemahiran menangkap burung puyuh liar mendapat tempat tersendiri dalam masyarakat dahulu sebagai hobi di masa lapang, terutama selepas musim menuai padi. Selain itu, burung ini ditangkap untuk mendapatkan dagingnya.

Dr. Haji Muhammad Pauzi.(Foto Muzium Warisan Melayu UPM)

Menurut mantan Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), DR. Haji Muhammad Pauzi Abd. Latif, peralatan yang dimaksudkan bagi menangkap burung ini dirujuk sebagai sejenis perangkap dipanggil ‘Jebak Puyuh’.

Jebak Puyuh berbentuk sangkar separuh bulatan dengan tapak rata, dan mempunyai mekanisme jerat bagi memerangkap burung puyuh liar. Bahagian serungkup berbentuk separuh bulatan biasanya dianyam kemas daripada pokok ribu-ribu (sejenis tumbuhan paku pakis dari jenis Lygodium).

Anyaman kemas yang diperbuat daripada pokok ribu-ribu. (Foto Muzium Warisan Melayu UPM).

Manakala, bahagian tapak rata diperbuat daripada kayu bahagian atas atau kepala jebak dihiasi ukiran motif-motif Melayu. Sebagai contoh, ukiran motif yang selalu digunakan ialah motif awan larat, bunga kunyit, kaligrafi dan sebagainya.

Selain itu, bahagian serungkup merupakan sangkar yang dilengkapi dengan bekas makanan dan minuman untuk kegunaan burung puyuh denak. Ia berfungsi sebagai pemikat burung puyuh liar.

Beginilah kedudukan sebenar ketika perangkap ini dibuka. (Foto Muzium Warisan Melayu UPM).

Dr. Haji Muhammad Pauzi menjelaskan, jebak puyuh biasanya diletakkan di tepi semak atau sawah yang menjadi tempat laluan burung puyuh liar. Burung denak akan mengeluarkan bunyi sebaik puyuh liar mendekati jebak.

Mekanisme jerat pada jebak puyuh bergantung pada sejenis tongkat di hadapan pintu utama alat perangkap ini. Apabila puyuh liar sibuk berlawan dengan denak dalam jebak, ia akan melanggar tongkat tersebut. Jerat akan jatuh lalu memerangkap puyuh liar itu.

Pada kebiasaannya, bahagian jerat akan dilengkapi loceng dan mengeluarkan bunyi sebaik saja jerat terjatuh. Ia secara tidak langsung berfungsi sebagai penggera kepada pemilik jebak bahawa jerat telah mengena.

Jelas beliau, seni menjebak puyuh memerlukan kesabaran yang tinggi. Tambahan pula, bukan mudah untuk memastikan burung puyuh liar terpikat dengan denak yang diletakkan di dalam jebak. Ia memerlukan satu bentuk latihan khas supaya denak mampu menghasilkan bunyi-bunyian untuk memikat burung puyuh liar yang cuba mendekati jebak.

Bertitik-tolak dari hobi masa lapang dan memenuhi kehendak bagi mendapatkan daging burung puyuh, pembuatan jebak juga diberi sentuhan nilai kesenian yang tidak kurang hebatnya oleh orang-orang Melayu dahulu.

Jebak puyuh dibuat penuh teliti, seumpama sejenis alat yang sangat penting. Nilai pengetahuan dan teknologi alam Melayu bukan hanya terletak pada jebak puyuh dan mekanisme memerangkap haiwan itu semata-mata.

Tulisan kaligrafi yang bermaksud ‘Jebak ini orang buat untuk burung puyuh’ (Foto Muzium Warisan Melayu UPM).

Jika difahami dengan teliti, ia turut berkait rapat bagaimana orang-orang Melayu dahulu memahami dan berinteraksi dengan alam semula jadi.
Kata Dr. Muhammad Pauzi, sebuah jebak puyuh tidak akan dapat memerangkap burung puyuh liar tanpa bantuan denak. Ia perlu dilatih agar tidak menghampakan pemilik alat perangkap ini.

Sebagai peralatan untuk hobi di masa lapang, jebak puyuh selalunya dihias dengan cantik dan kadangkala menggambarkan status pemiliknya.
Kini, meskipun tidak ramai yang tahu menjebak puyuh, namun alatan tersebut masih ada peminatnya. Ia dijadikan hiasan dan kadangkala diubahsuai untuk dijadikan sangkar haiwan peliharaan domestik lain seperti kucing dan sebagainya.