i.Dummy, patung pakaian pintar

Patung adalah elemen penting untuk memperagakan busana selain model manusia.  Bahkan, jika tiada boneka, butik pakaian boleh diumpamakan seperti tiada penyeri. Kini, industri fesyen dan tekstil dimeriahkan lagi dengan ciptaan patung pakaian pintar. Nak tahu?

Dikenali sebagai i.Dummy, patung unik ini mempunyai ciri-ciri kreatif yang bakal memberi kemudahan kepada pereka mahupun pelanggan. Persoalannya, apakah kelebihan yang dimiliki boneka ini?  i.Dummy dicipta dengan kemampuan untuk berubah mengikut pelbagai saiz dalam satu masa. Tidak kiralah ukuran paling kecil atau besar, semuanya boleh diaplikasikan ke atas patung ini.

GUI merupakan program yang mengawal i.Dummy.

Bagaimana cara untuk menggunakannya? Dengan memasukkan data ke dalam sistem, i.Dummy akan berubah saiz dalam masa beberapa saat. Tidak percaya? Percayalah, kerana ia telah dibuktikan melalui paparan video yang dirakam sendiri oleh syarikat pencipta. Dalam pada itu, ‘Graphic User Interface’ (GUI) merupakan program yang dihubungkan dengan i.Dummy. Ia bertindak mengawal perubahan figura pada patung pakaian pintar yang bergerak seperti robot.

Sebelum itu, i.Dummy telah dicipta membentuk tubuh wanita. Disebabkan itu, perubahan pada patung ini ditentukan oleh tiga perkara iaitu dada, pinggang dan punggung. Menariknya, pereka tidak perlu menggunakan pelbagai saiz patung semata-mata untuk menggayakan busana. Malah, mengecilkan baju pada boneka dengan memakai penyepit baju atau pin juga tidak lagi menjadi kemestian. Sebabnya, i.Dummy dihasilkan dengan teknologi baru yang menjadikan ia sebagai sebuah patung fleksibel.

Selain itu, penggunaan i.Dummy juga membantu mengelakkan ruang daripada menjadi sempit. Setidak-tidaknya, hanya dengan sebiji boneka, i.Dummy berpotensi menggantikan penggunaan jumlah patung yang banyak. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan ruang sekeliling.

Tidak hanya itu, pengguna boleh melihat penggayaan busana pilihan menerusi ukuran tubuh sendiri ke atas i.Dummy. Jadi, tidak perlu lagi bersusah payah untuk mencuba baju terlebih dahulu sebelum membelinya. Pasti ia menjadi sebuah pengalaman yang menyeronokkan.

I.Dummy didatangkan dalam tiga bentuk seperti yang ditunjukkan di dalam gambar.

Dalam pada itu, i.Dummy dicipta di dalam tiga jenis bentuk. Bahagian badan dan kaki yang berasingan serta keseluruhan tubuh yang bercantum seperti manusia. Meskipun berbeza bentuk, ketiga-tiga figura ini masih lagi mempunyai fungsi sama iaitu mampu berubah mengikut saiz yang ditetapkan.

Menariknya lagi tentang boneka pintar ini adalah ia didatangkan dengan roda pada bahagian bawah patung. Jika anda perasan, kebanyakan patung pakaian hanya mempunyai tapak untuk berdiri. Akan tetapi, tiada roda untuk bergerak. Bermotifkan untuk memberi kemudahan kepada pengguna, i.Dummy telah diwujudkan dengan roda supaya dapat digerakkan secara mudah. Kelak, tidak perlu lagi bersusah-payah mengangkat objek ini apabila mahu diubah kedudukan.

Pereka i.Dummy, Dr. Allan CK Chan.

Untuk pengetahuan pembaca, ciptaan i.Dummy dihasilkan oleh  Profesor Jabatan Tekstil dan Pakaian,  Universiti Politeknik Hong Kong, Dr. Allan CK Chan. Menurutnya, dia mengambil masa selama lima tahun untuk menghasilkan produk pintar tersebut dengan kerjasama syarikat Winswin. Keunikan yang dimiliki boneka ini menyebabkan ia menerima pelbagai anugerah meskipun baru dihasilkan pada tahun 2013.

Antaranya, memenangi hadiah utama di dalam ‘Design for Asia Awards 2014’ mengalahkan sejumlah 1,000 penyertaan dari 23 buah negara. Menakjubkan, anugerah yang sama turut dirangkul pada tahun berikutnya berserta beberapa pencalonan lain. Sementara itu, pada tahun 2015, Dr. Allan Chan dan kumpulan dipilih sebagai pemenang ‘Engineering and Technical Design Category, 2015 – 2016’ di dalam pertandingan dan anugerah A’Design.

Pastinya anda tertanya-tanya tentang harga yang ditawarkan bagi produk ini bukan? Dengan kelebihan yang dimiliki, i.Dummy dijual dengan harga $USD 12,000 (RM48,184) bagi bahagian tubuh yang berasingan. Contohnya, badan atau kaki patung. Manakala figura penuh tubuh boneka (leher hingga ke kaki) dijual dengan harga lebih mahal iaitu, $USD 16,000 (RM 64,246).