Gemar makan daging sendiri - Infiniti

Gemar makan daging sendiri

Jangan pelik dan terkejut jika anda lihat gadis ini memakan dagingnya sendiri.

Pemilik nama Mega Susi Ningsih yang menetap di Situbondo, Jawa Timur, Indonesia ini, mempunyai hobi yang pelik iaitu suka memakan dagingnya sendiri. Malah, dia turut dipanggil kanibal oleh penduduk tempatan.

Mega Susi Ningsih sering dipanggil kanibal oleh penduduk tempatan.

Akibat hobi peliknya itu, dia telah kehilangan hampir kesepuluh jari tangannya. Ekoran daripada tabiatnya itu, seluruh ahli keluarganya bingung dan terpaksa menahan malu kerana isu Ningsih menjadi topik perbualan penduduk setempat.

Jelas Banura, nenek Ningsih, perlakuan cucunya itu sangat membimbangkan dirinya.  Kelakuan itu sangat berbeza dengan adik beradiknya yang lain.  Ketika umurnya yang kini 19 tahun, Ningsih masih belum mampu bertutur dengan baik, bahkan dia juga tidak suka bercampur dengan orang lain.

Persoalannya, bagaimana gadis ini boleh makan dagingnya sendiri? Tidakkah dia terasa sakit? Mungkinkah perlakuan ini ada kaitan dengan gangguan mental?

Menurut Banura, dulu Ningsih pernah dibawa bapanya berjumpa doktor yang bertugas di kawasan tempat tinggal mereka namun tidak ada rawatan dan penjelasan mengenai kelakuan pelik itu. Buntu dengan kejadian ini, doktor tersebut meminta keluarga Ningsih membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Akibat kesempitan hidup, rawatan Ningsih terpaksa dilupakan.

Kini, setelah kesepuluh jarinya hilang, neneknya berusaha melilit jari kaki Nining bagi mengelakkan dia memakan daging di bahagian kaki. Namun, apa yang memeranjatkan, Ningsih mula memakan daging di bahagian siku dan bahu pula! Malah, ketika perlakuannya itu dihalang oleh nenek dan ayahnya, Munasip, dia hanya ketawa kegembiraan.

Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Irma Fadhilah Ismail.

Ekoran dari itu, Infiniti menemui Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah di Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Irma Fadhilah Ismail bagi mendapatkan penjelasan mengenai fenomena ini.

Menurut Dr. Siti Irma, fenomena ini dikategorikan sebagai ‘self injury behaviour’ atau SIB. Keadaan ini disebabkan oleh tiga faktor iaitu terencat akal, masalah personaliti dan juga kemurungan akibat gangguan emosi.

Jelas Dr. Siti Irma lagi, bagi kes Ningsih, berkemungkinan dia mengidap masalah terencat akal. Terencat akal ini boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu rendah (mild), sederhana (moderate) dan kritikal (severe).

Seseorang yang mengalami masalah terencat akal mampu mencederakan diri sendiri jika tahap terencat akal itu berada pada peringkat sederhana dan kritikal. Namun begitu,  kecederaan itu hanya empat hingga lima peratus saja. Ia tidak mungkin sampai makan daging sendiri. Cuma tahap paling kritikal bagi penghidap SIB ini hanya cubaan membunuh diri saja. Namun itu bergantung pada sejauh manakah masalah gangguan jiwa yang dihadapinya.

Bagi Dr. Siti Irma kejadian yang menimpa Ningsih ini berkemungkinan ada kaitan dengan gangguan saraf pada tubuh. Jelas Dr. Siti Irma, setiap individu mempunyai rasa sakit yang berbeza. Contohnya, ada individu yang tidak berasa sakit bila dicubit tapi ada individu yang tidak tahan dan mudah rasa sakit hingga menangis.

Ekoran itu, Dr. Siti Irma mengandaikan tahap kesakitan pada saraf Ningsih adalah sangat rendah. Maka, akibat daripada itulah yang menyebabkannya boleh berulang kali menggigit dagingnya tanpa rasa sakit.

Walaupun begitu, berkemungkinan juga, Ningsih berkelakuan begitu sebagai satu cara untuk menarik perhatian ibu bapanya. Ujar Dr. Siti Irma, seseorang yang mengalami gangguan jiwa cenderung mendapatkan perhatian lebih daripada orang di sekelilingnya. Mungkin, cara memakan diri sendiri seperti yang dilakukan oleh Ningsih dapat menarik perhatian orang sekelilingnya.

Selain itu, mempamerkan kelakuan tertentu merupakan satu cara komunikasi bagi mereka yang mengalami gangguan mental. Biasanya, kebanyakan pesakit gangguan mental mempunyai masalah untuk bertutur. Jadi mereka akan hamburkan kelakuan pelik mereka sebagai satu protes terhadap perkara-perkara yang tidak disukai mereka. Cara itu jelas Dr. Siti Irma merupakan satu tindakan untuk mengurangkan stres mereka. Sebab itulah mereka ini boleh lakukan apa saja seperti makan daging sendiri, hentak kepala di dinding dan sebagainya. Dorongan melepaskan stres itu menyebabkan mereka tidak berasa sakit.