Gejala Tisu Lembut Yang Luar Biasa

SEMUA ibu bapa di dunia ini mahukan bayi yang comel selain mempunyai tubuh badan sihat dan sempurna.

Ketika hamil, wanita mengandung akan menjaga kandungannya dengan baik sehingga bayinya dilahirkan. Walaupun begitu, ia tidak menjanjikan bayi yang dilahirkan sempurna dan kekal sihat hingga dewasa kerana perubahan tahap kesihatan dan tubuh seseorang boleh berubah pada bila-bila masa sahaja.

Kemalangan juga bukan sahaja boleh mengubah bentuk tubuh dan wajah, malah satu gejala yang disebut sindrom proteus turut merubah diri seseorang yang menghidapinya sehingga mampu menyekat keupayaan dalam menjalani kehidupan seharian.

Sindrom proteus adalah satu gejala yang jarang ditemui di negara kita. Kajian mendapati sindrom proteus adalah suatu gejala yang melibatkan pertumbuhan luar biasa tisu lembut pada anggota badan manusia seperti bahagian badan, kepala, tulang, leher, kaki, hidung dan mulut.

Gejala ini pertama kalinya telah dikenal pasti oleh M. Michael Cohen Jr. pada tahun 1979. Kemudian seorang pakar pediatrik Jerman dikenali sebagai Hans-Rudolf Wiedemann menamakan gejala ini sebagai sindrom Proteus, bersempena dengan nama Greek God Proteus yang mampu mengubah rupa bentuk dirinya menjadi apa yang dimahukan.

The elephant man

Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar atau mengetahui tentang gejala ini, namun pemilik nama Joseph Merrick atau ‘the elephant man’ adalah seorang pesakit popular yang menderita sindrom Proteus sehingga akhir hayatnya. Mempunyai wajah yang pelik dan menyerupai seekor gajah membuatkan dia terkenal dengan gelaran sebegitu. Joseph yang lahir secara normal pada tahun 1862 bagaikan terkena sumpahan apabila tubuh dan wajahnya mula berubah seawal usianya dua tahun.

Penderitaan yang dialaminya sangat serius. Joseph tidak boleh tidur berbaring seperti manusia lain kerana saiz kepalanya besar dan berat. Selain kepala, bahagian belakang badan, dada dan lehernya juga mengalami gejala yang sama. Bagaimanapun ketika usianya 28 tahun, Joseph dijumpai mati dalam bilik tidurnya kerana dikatakan mengalami masalah pernafasan.

Dr. Che Normah Mat Taib

Menurut Ketua Unit Jabatan Anatomi Manusia di Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Che Normah Mat Taib, sehingga kini punca sebenar sindrom Proteus masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada mutasi gen khusus dapat diidentifikasikan daripada pesakit yang menghidapinya.

Namun ada hipotesis menyatakan ia mungkin berpunca daripada mutasi somatik yang mematikan bahagian tertentu dan mempengaruhi reseptor dalam tubuh badan manusia sehingga menyebabkan pertumbuhan tisu lembut menjadi cepat.

Menurutnya lagi, pesakit sindrom proteus akan menanggung kesakitan sekiranya tisu lembut dibiarkan membesar terutama sekali jika ianya tumbuh pada anggota badan terpenting seperti tangan, telapak kaki dan muka. Keadaan ini akan menyukarkan pesakit untuk melakukan pergerakan harian dan akan menyebabkan gangguan pada sistem pernafasan.

Bagi mengatasi masalah ini, rawatan melalui kaedah pembedahan boleh dilakukan bagi membuang tisu lembut yang tumbuh membesar, tetapi terdapat risiko tertentu yang perlu ditanggung oleh pesakit. Berdasarkan beberapa laporan kes, terdapat pesakit yang telah menjalani rawatan melalui kaedah pembedahan tetapi sel tisu lembut yang asal telah tumbuh semula pada anggota badan yang terlibat.

Di Malaysia, pesakit yang mengalami sindrom Proteus jarang sekali ditemui. Sekalipun ada, pesakit itu tidak mengalami gejala ini dengan begitu serius. Berdasarkan laporan kajian kes yang dilakukan oleh penyelidik dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), seorang lelaki Melayu berusia 20 tahun dikatakan telah menemui pakar perubatan di Jabatan Ortopedik PPUKM kerana mendapati jari kelengkeng pada tangan kanannya bengkak dan membesar serta membengkok.

Pada awalnya, lelaki itu menyedari pigmentasi berwarna keunguan telah muncul pada bahagian dada dan lengan kirinya. Tetapi apa yang berlaku tidak menghalangnya untuk melakukan aktiviti harian dan masih boleh memandu motosikal seperti orang lain. Setelah berjumpa dan berbincang dengan pakar yang terlibat, lelaki tersebut bersetuju untuk menjalani rawatan dengan melakukan pembedahan membuang sel tisu yang berlebihan pada tangannya.

Kesimpulannya, sindrom proteus masih lagi dalam penelitian para penyelidik kerana sehingga kini punca berlakunya gejala ini belum dapat dikenal pasti. Tambahan pula, pesakit sindrom proteus mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk mati secara mengejut.