Cendawan bercahaya

PADA bulan Oktober 2009, sekumpulan pengkaji yang diketuai oleh Profesor Dennis Desjardin dari San Francisco State University, California melaporkan telah menemui satu spesies tumbuhan aneh di Hutan Simpan Sepilok, lebih kurang 24 kilometer dari bandar Sandakan, Sabah.

Pelik kerana tumbuhan tersebut mampu mengeluarkan cahaya kuning kehijauan ketika keadaan sekitarnya gelap atau pada waktu malam. Kemampuan bioluminescent tumbuhan itu seakan kelip-kelip atau kunang-kunang yang memancarkan cahaya pada malam hari. Bezanya cuma flora tersebut berkeadaan statik dan tidak terbang. Saiznya agak kecil, iaitu cuma berukuran kurang 18 milimeter diameter dan hidup menumpang pada kulit pokok.

Bagi yang tidak pernah melihat fenomena aneh seumpama ini tentunya akan tertanya-tanya tumbuhan jenis apakah itu. Apabila diselidik, flora ganjil itu rupanya cendawan daripada kumpulan Mycena silvaelucens. Spesies ini merupakan salah satu daripada tujuh jenis cendawan bercahaya atau bioluminescent terbaru yang ditemui di dunia pada tahun lalu.

Selain di Sabah, jurnal Mycologia melaporkan enam yang lain telah dijumpai di Brazil, Belize, Republik Dominican, Jamaica, Jepun dan Puerto Rico.

Menurut Pensyarah di Jabatan Perlindungan Tumbuhan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. YH Tan, penemuan ini telah meningkatkan jumlah spesies cendawan bioluminescent kepada 71 jenis. Setakat ini, sebanyak lebih kurang 85,000 jenis kulat wujud di dunia, namun hanya jumlah spesies yang direkodkan itu saja yang didapati boleh memancarkan cahaya bioluminescent.

Tapi kenapa cendawan tersebut boleh mengeluarkan cahaya seumpama kunang-kunang? Bertambah pelik, mengapa keistimewaan itu hanya dimiliki oleh sebahagian cendawan dan tidak pada keseluruhan kulat yang wujud di dunia ini?

Alasan mengapa bukan semua organisma seperti cendawan di planet ini mampu  mengeluarkan cahaya bioluminescent masih belum dapat dijelaskan secara saintifik. Namun, menurut Dr. YH Tan, fenomena ini diyakini terjadi akibat tindak balas yang berlaku antara bahan kimia luciferin dan oksigen melalui enzim bahan pemangkin luciferase yang terdapat dalam cendawan.

Selain cendawan, beberapa organisma hidup seperti kelip-kelip, ulat, ikan laut dalam dan bakteria turut berkebolehan memancarkan cahaya bioluminescent. Sungguhpun begitu, sampai ke hari ini saintis belum dapat mengenal pasti secara terperinci, apakah sebenarnya fungsi bioluminescent kepada organisma hidup terutama kepada cendawan.

Pun begitu, terdapat teori menjelaskan bahawa kewujudan bioluminescent dianggap sebagai satu mekanisme atau keperluan untuk cendawan melangsungkan hidup. Ini kerana sinaran cahaya itu mampu menarik perhatian serangga, seterusnya membolehkan spora cendawan tersebar ke kawasan lain.

Dengan cara ini kata Dr. YH Tan, kulat dapat menyesuaikan diri dalam hutan. Lebih-lebih lagi  di kawasan yang kurang menerima aliran angin akibat terhalang oleh pokok-pokok besar dan tinggi sehingga menghadkan penyebaran spora cendawan.

Walaupun beberapa spesies pernah ditemui di negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah, namun kulat ini lazimnya hidup segar di negara beriklim tropika seperti Malaysia. Antaranya, di Taman Negara Endau Rompin, dalam hutan di Bukit Fraser, Cameron, Lembah Danum dan Sepilok di Sabah serta Taman Negara Bako di Sarawak.

Kebanyakan cendawan bioluminescent yang pernah ditemui sebelum ini mampu memancarkan cahaya dalam jarak gelombang 500 hingga 600 nanometer. Namun demikian, bukan semua bahagian tumbuhan itu menghasilkan cahaya kerana adakalanya hanya batang cendawan yang bersinar tetapi tidak bahagian tudungnya dan begitu juga sebaliknya.

Satu yang luar biasa, fenomena bioluminescent berlaku sepanjang hidup cendawan. Paling menarik, cahaya mengagumkan itu boleh dilihat sehingga berjam-jam lamanya pada setiap hari, terutama pada waktu malam.

Sayangnya, pemandangan indah ini bukan terjadi sepanjang tahun. Kehadiran ‘mereka’ menyinari kegelapan malam hanya berlaku ketika musim hujan. Itupun, sebahagiannya mungkin boleh hidup cuma untuk beberapa hari saja.

Namun, peringatan kepada penggemar cendawan, spesies ini tidak boleh dimakan. Ia beracun kerana mengandungi toksik illudin yang boleh mengakibatkan muntah-muntah dan kekejangan urat.