Cacian tumbangkan pokok

PENDUDUK desa di Kepulauan Salomon yang terletak di wilayah Pasifik memiliki cara yang cukup unik apabila hendak menebang pokok. Jika saiz pokok itu terlalu besar dan sukar untuk dipotong menggunakan kapak, mereka akan menjerit-jerit dan memaki hamun di bawah pokok sehingga pohon itu mati, lalu tumbang dengan sendiri.

Selalunya amalan ini dilakukan oleh seseorang yang memiliki keupayaan khusus. Mereka ini akan mengeluarkan kata-kata kesat ke atas tumbuhan yang disasarkan bermula dari seawal pagi sehingga waktu senja. Proses mencaci ini dilakukan selama tiga puluh hari.

Bunyinya mungkin seperti kerja gila dan tidak masuk akal. Tapi menurut penduduk kampung, cara mencaci pokok seumpama itu selalunya akan berhasil. Ini kerana, secara teori mereka percaya bahawa perbuatan mencerca dan menjerit boleh membunuh semangat pokok.

Mungkin itu sekadar kepercayaan. Persoalannya, apakah pekerjaan pelik ini dapat dibuktikan secara saintifik? Sejauh mana pula kebenaran yang mengatakan setiap tumbuhan punya semangat, jiwa dan perasaan hinggakan apabila diherdik dan dimaki, ia boleh mati?

Menurut Pakar Ekofisiologi dan Ketua Laboratori Pengurusan Biosumber Mampan (BIOREM), Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hazandy Abdul Hamid, sukar untuk dibuktikan secara saintifik bagaimana pokok boleh mati apabila dimaki.

Dr. Hazandy Abdul Hamid

Jika tumbuhan itu mati kerana dikatakan ada kaitan dengan semangat atau perasaan, juga tiada penjelasan sains untuk perkara itu. Adalah mustahil pokok memiliki perasaan dan emosi sedangkan tumbuhan tidak memiliki otak dan hati seperti manusia.

Pengarah Backster School of Lie Detection dari San Diego, California, Cleve Backster bagaimanapun tetap mempercayai bahawa ‘setiap makhluk memiliki jiwa’. Justeru, beliau yakin tumbuhan juga dapat merasakan perubahan psikologi pada diri manusia. Meyakini hal tersebut benar terjadi, Backster kemudian cuba membuktikannya secara saintifik menerusi kajiannya pada tahun 1975.

Dengan menggunakan alat poligraf, Backster kemudian memberi rangsangan kepada tumbuhan. Apabila pengkaji ini bercakap bahawa dia ingin memotong tanaman tersebut, tiba-tiba poligraf bergerak-gerak seakan-akan tumbuhan tadi memiliki perasaan dan deria pendengaran.

Pergerakkan poligraf menunjukkan tumbuhan memiliki perasaan.

Seorang saintis dari Jerman turut menyuarakan hal yang sama. Pada pandangannya, apabila kita menyiram pokok sambil bercakap dan memberi kasih sayang, tanaman itu akan tumbuh dengan cepat dan menghasilkan produktiviti yang baik. Seolah-olah tumbuhan itu memahami dan mendengar apa yang dikatakan oleh manusia.

Beberapa saintis kemudian meneruskan kajian paranormal Backster ini dan cuba untuk membuktikan sejauh mana kebenaran di sebalik penemuan tersebut. Setelah diselidik, mereka menemukan sesuatu yang bercanggah. Mereka menyangkal kajian Backster dengan mengatakan bahawa berkemungkinan gerakan poligraf yang dikatakan terhasil dari tindak balas tumbuhan adalah salah.

Pada andaian mereka, gerak balas itu mungkin disebabkan gangguan luaran dan bukannya disebabkan oleh emosi yang ada pada tumbuhan tadi. Tapi, Backster tetap menegakkan kesahihan tentang apa yang telah ditemukan dalam eksperimennya sebelum ini.

Walaupun ramai menentang idea Backster, dari sudut fisiologi Dr. Hazandy berkata, kajian tersebut masih diteruskan sampai ke hari ini. Bermula tahun 1800, ramai saintis telah mengkaji deria pada tumbuh-tumbuhan. Apa yang menarik, setiap penyelidikan itu menemukan suatu yang di luar jangkaan.

Selain, deria perasaan yang menjadi perdebatan, tumbuhan rupanya memiliki sensasi sentuhan. Pokok semalu atau Mimosa pudica misalnya, menunjukkan reaksi – daun mengucup dan rantingnya menunduk apabila disentuh. Beberapa kajian mendapati selain daripada sentuhan, terdapat dapatan daripada kajian mengatakan pokok juga memiliki deria bau.

Sebagai contoh, kata Dr. Hazandy, apabila pokok tomato dilukai, ia akan mengeluarkan satu bauan yang dipanggil metil jasmonat. Bauan yang dikeluarkan itu akan menarik perhatian serangga untuk merosakkan tumbuhan yang berdekatan. Menariknya, tumbuhan berdekatan didapati turut bereaksi dengan mengeluarkan satu bahan kimia bagi mempertahankan diri daripada serangan serangga perosak apabila terhidu bau tadi.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pokok juga memiliki foto sensitif kompaun yang membolehkannya melihat. Keupayaan penglihatannya menyebabkan ia bisa bertindak balas dengan jarak gelombang cahaya tertentu dan kemudian bereaksi. Dapatan menerusi kajian mengatakan bahawa apabila pokok boleh mengesan satu sinar UVB– ia akan menghasilkan pigmen untuk menghalang sinaran berbahaya tadi. Ini menunjukkan tumbuhan seolah-olah mempunyai deria penglihatan sehingga boleh melihat cahaya.

Sebahagian saintis percaya pokok boleh memahami dan mendengar apa yang diperkatakan oleh manusia.

Kajian seorang saintis India, Jagadish Chandra Bose, pula mendapati tumbuhan turut memiliki deria pendengaran. Dengan bantuan alat crecograph, Bose melakukan penelitian simulasi tanaman. Apa yang berlaku, apabila tanaman diberikan muzik yang menyenangkan, ‘mereka’ tumbuh lebih cepat berbanding suasana yang bunyinya agak kuat.

Lalu Bose menyimpulkan bahawa respons tersebut menunjukkan tanaman memiliki sistem saraf seperti haiwan. Justeru, ‘mereka’ boleh ‘merasa sakit, merasai kasih sayang dan memahami.