Al-Quran mengira kelajuan cahaya - Infiniti

Al-Quran mengira kelajuan cahaya

Dalam sains, cahaya diiktiraf sebagai pergerakan yang paling pantas di alam maya ini. Dengan kata lain, tidak ada pergerakan yang lebih cepat daripada cahaya.

Menurut Albert Einstein, tidak ada yang mutlak di dunia ini kecuali kecepatan cahaya. Sekalipun pendapat yang diutarakan oleh Einstein ini agak kontroversi, tetapi teori itu telah dibuktikan sahih melalui kajian yang dilakukan pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 oleh Michelson-Morley.

Mengikut teori moden sains fizik, cahaya dan semua sinaran elektromagnetik bergerak pada kelajuan yang malar di dalam vakum, iaitu kelajuan cahaya. Setelah dicongak dan dihitung, cahaya didapati bergerak dengan kelajuan 299,792,458 meter sesaat. Secara mudah jika dibundarkan mendapati pergerakan cahaya hampir 300 000 kilometer sesaat atau 186 000 batu sesaat.

Apabila berbicara mengenai kelajuan cahaya, sudah pasti ia berkait rapat dengan objek-objek lain di angkasa raya. Dua sistem iaitu Sinodik dan Siderial akan digunakan oleh ahli astronomi untuk mengukur pergerakan objek atau sesuatu jarak dalam kelajuan cahaya. Kedua-dua sistem ini didasarkan kepada pergerakan relatif bulan dan matahari. Bagaimanapun, kebanyakan ahli astronomi lebih cenderung menggunakan sistem Siderial yang menjadi dasar perhitungan kalendar Hijrah kerana dianggap lebih tepat.

Menyedari kelajuan cahaya adalah sesuatu yang menarik bagi manusia, ditambah lagi dengan teori Einstein yang mengatakan cahaya adalah satu-satunya komponen alam yang tidak pernah berubah, membuatkan ramai pengkaji obses untuk menghitung sendiri betapa besarnya kelajuan cahaya yang sebenar.

Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Arip Kasmo, sekalipun manusia berjaya mengukur kelajuan cahaya secara tepat mutakhir ini, namun secara faktanya Al-Quran telah terlebih dahulu menyatakannya secara kiasan dalam bentuk angka. Didapati, fakta-fakta yang terdapat di dalam Al-Quran turut mempunyai kaitan dengan kelajuan cahaya.

Dalam surah As-Sajdah ayat 5, Allah berfirman yang bermaksud, “Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu kembali kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya seribu tahun menurut perhitungan mu.” (Surah As-Sajdah; ayat 5).

Jelas Dr. Arip, berdasarkan kepada ayat ini, seorang ilmuwan matematik dan fizik dari Mesir, Dr. Mansour Hassab Elnaby merasa tertarik untuk menghitung kelajuan cahaya, terutamanya berdasarkan data-data yang disajikan.

Dalam bukunya yang berjudul A New Astronomical Quranic Method for The Determination of the Speed, Dr. Mansour menghuraikan secara jelas dan sistematik tentang cara menghitung kelajuan cahaya berdasarkan redaksi ayat-ayat Al-Quran. Dalam menghitung kelajuan cahaya ini, Dr. Mansour menggunakan sistem yang lazim diguna pakai oleh ahli astronomi iaitu sistem Siderial.

Berdasarkan kepada ayat Al-Quran itu, beliau membuat kesimpulan bahawa ayat tersebut menerangkan tentang jarak yang ditempuh oleh bulan dalam tempoh 1000 tahun iaitu 12,000 bulan.

Kemudian, beliau memasukkan data tersebut ke dalam formula mudah untuk mencari kelajuan cahaya. Formula yang diguna pakai ialah L=J/M, yang mana pemalar J mewakili jumlah pergerakan bulan selama 1000 tahun yang didarabkan dengan jarak yang ditempuh bulan dalam satu pusingan. Manakala pemalar M mewakili kadar masa pusingan bumi dalam saat iaitu 861,640,906 saat.

Hasil hitungan yang diperoleh Dr. Mansour ialah 277,792,499 meter sesaat. Ternyata ia sesuatu yang mengejutkan kerana nilainya sangat hampir dengan kiraan moden yang menggunakan pelbagai peralatan canggih. Jika dibandingkan dengan pengiraan yang dilakukan oleh US National Bureau of Standard, British National Physical Labs ataupun General Conf on Measures, hasilnya boleh dikatakan hampir sama.

Sama ada benar atau tidak, interpretasi yang dilakukan oleh Dr. Mansour Hassab Elnaby menunjukkan bahawa kitab suci Al-Quran mempunyai kaitan secara langsung dalam mengungkap fenomena-fenomena alam. Apa yang disajikan oleh Dr. Mansour ini menjadi bukti tambahan bahawa Al-Quran sebenar-benarnya datang dari Sang Pencipta yang maha esa.